Keadaan di UK membimbangkan, rakyat Malaysia dinasihati elak kawasan protes


Pihak berkuasa UK berdepan tekanan untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai. – Gambar Facebook, 5 Ogos, 2024.

PROTES berterusan di beberapa kawasan di United Kingdom (UK) kini semakin membimbangkan dan mula berubah kepada keganasan, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melawat UK untuk tidak berada di kawasan protes dan mendaftar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London memudahkan urusan berkaitan keselamatan.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak berada di tempat yang dijangka menjadi kawasan sasaran, sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan agar kita dapat tahu mereka berada dalam keadaan baik,” katanya di Seremban, memetik laporan Bernama.

Mohamad berkata protes di negara Eropah ketika ini dilihat sebagai pola baharu kebangkitan puak kanan yang menunjukkan sikap toleransi amat rendah dan beliau berharap insiden itu tidak merebak.

Katanya, penularan maklumat tidak sahih dalam media sosial juga berbahaya dan memberikan masalah kepada sesebuah negara.

Kementerian Luar dalam kenyataan sebelum ini berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di alamat 45 - 46 Belgrave Square, London, UK atau telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033 atau e-mel di [email protected].

Menurut laporan media pihak berkuasa UK berdepan tekanan untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai. – 5 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen