TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kesilapannya pada himpunan sokongan terhadap Palestin kerana melaungkan “Hidup Israel” ketika berucap.
Di Facebook, presiden Umno itu berkata kekhilafan itu berlaku ketika terlalu bersemangat.
“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
“Namun, hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan ‘Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin!,” katanya.
“Himpunan Pembebasan Palestin” diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Kira-kira 10,000 hadir dalam perhimpunan anjuran kerajaan malam tadi bagi menyuarakan rasa cinta terhadap kedamaian, keamanan dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata Malaysia bersiap sedia menawarkan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang menderita dalam perang Israel-Gaza.
Beliau berkata bantuan akan diberikan kepada wanita dan kanak-kanak, yang akan dibawa ke Malaysia untuk rawatan, jika diperlukan. – 5 Ogos, 2024.
Komen