PEJABAT Perdana Menteri (PMO) memanggil wakil Meta Platforms Inc (Meta) hari ini, bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Memetik sumber, Bernama berkata ia termasuk kandungan berkaitan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang diturunkan dan disekat menerusi plaftorm seperti Facebook dan Instagram perdana menteri.
Difahamkan perdana menteri yang sebelum ini berang dengan tindakan berkenaan, juga mahu mendengar penjelasan lanjut daripada Meta berhubung perkara itu.
Pertemuan itu juga bertujuan meminta penjelasan berhubung gangguan dilaporkan berlaku dalam siaran langsung di Facebook sewaktu Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil yang dihadiri lebih 15,000 orang semalam.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pertemuan akan diadakan bersama pihak Meta berhubung isu penurunan kandungan berkaitan Palestin daripada media sosial perdana menteri, di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata kerajaan akan bertegas dalam pertemuan itu jika sebarang kandungan berhubung Himpunan Pembebasan Palestin diturunkan oleh penyedia platform media sosial berkenaan.
Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations”.
Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan Meta, manakala Anwar pada Khamis lalu memberi peringatan terhadap Meta supaya tidak menjadi alat kepada rejim Zionis. – 5 Ogos, 2024.
Komen