KSN baharu akan diumumkan tidak lama lagi, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengumumkan ketua setiausaha kerajaan yang baharu dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2024.

KERAJAAN akan mengumumkan ketua setiausaha kerajaan yang baharu dalam masa terdekat bagi menggantikan Zuki Ali yang kontraknya tamat pada Sabtu ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Tidak (kami tiada calon lagi) tapi akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Dalam ucapan beliau sebelum ini Anwar berkata perhimpunan ini akan menjadi yang terakhir bagi Zuki dalam peranannya sebagai ketua setiausaha kerajaan.

“Saya bersyukur sejak pelantikan saya sebagai perdana menteri, saya berpeluang mendapat sokongan bukan sahaja daripada seorang rakan yang berharga dalam pentadbiran tetapi juga daripada tonggak penting dalam perkhidmatan awam, Zuki.

“Perhimpunan ini menandakan acara rasmi terakhirnya sebagai ketua setiausaha,” katanya.

Anwar memuji Zuki atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi sejak beliau mula bertugas pada November 2022 dengan menyatakan bahawa nasihat, cadangan dan pandangan Zuki yang konsisten menjadi sangat penting kepada perkhidmatan awam dan negara.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang mendalam kepada beliau kerana walaupun berkhidmat dengan perdana menteri yang lalu, beliau sentiasa melaksanakan tugasnya dengan profesionalisme yang luar biasa,” tambahnya.

Zuki berkhidmat sebagai ketua setiausaha sejak 31 Disember 2019. Beliau dijangka bersara pada 10 Ogos 2022, tetapi diberikan lanjutan kontrak selama dua tahun.

Beliau sebelum ini berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri, serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Zuki juga pernah berkhidmat di Istana Negara dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak serta Setiausaha Agung Kementerian Pertahanan. – 5 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen