Malaysia akan tawar bantuan perubatan kepada rakyat Palestin, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantuan perubatan kepada rakyat Palestin akan ditujukan khusus kepada wanita dan kanak-kanak serta mereka akan dibawa ke Malaysia untuk rawatan jika perlu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2024.

MALAYSIA sedia menawarkan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan Israel yang berterusan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bantuan tersebut akan ditujukan khusus kepada wanita dan kanak-kanak serta mereka akan dibawa ke Malaysia untuk rawatan jika perlu.

“...insha-Allah kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu mereka. Kami akan bersuara (untuk Palestin) tidak kira siapa yang berdiri di hadapan kami.

“Dan kami akan menyediakan bantuan perubatan kepada mereka yang sakit, sama ada untuk dirawat di sana (di Palestin) atau untuk dibawa ke sini untuk rawatan.

“Kami akan terus membantu mereka tanpa henti. Kerajaan akan menyediakan dana (untuk tujuan ini), dan saya juga akan berbincang dengan beberapa negara lain,” kata Anwar dalam ucapan beliau di perhimpunan “Himpunan Pembebasan Palestin” yang diadakan di Bukit Jalil malam tadi, lapor Malaysiakini.

https://www.malaysiakini.com/news/714336

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh kerajaan persekutuan bersama beberapa NGO untuk menunjukkan solidariti Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin dan mengecam pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

“Saya berhubung dengan Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi meminta bantuannya bagi memudah cara bantuan kemanusiaan (ke Palestin) dan sokongan, serta membenarkan kami membawa pulang beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia,” kata Anwar.

Beliau juga menghubungi beberapa pemimpin negara Islam lain termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa untuk memohon bantuan berterusan mereka untuk Palestin. – 5 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen