Malaysia, Thailand percepat pembinaan jambatan kedua, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia adalah antara keputusan yang diterima pakai pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2024.

MALAYSIA dan Thailand bersetuju mempercepatkan pembinaan jambatan kedua merentasi sempadan Sungai Golok antara Rantau Panjang di Kelantan dan Sungai Golok di Narathiwat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan di Bernama, Anwar berkata ini adalah antara keputusan yang diterima pakai pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berikutan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Golok.

Beliau berkata kedua-dua negara juga telah memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pengorekan muara Sungai Golok, yang akan membantu menangani isu banjir yang melanda selatan Thailand dan Kelantan.

“Apabila hubungan peribadi baik dan hubungan kedua-dua kerajaan kukuh, manfaatnya akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas di Pejabat Tanah dan Daerah Pasir Mas di sini.

Anwar juga memberi jaminan bahawa hubungan Malaysia-Thailand akan bertambah baik dengan ketara di bawah kepimpinan Srettha.

Beliau berkata Malaysia menghargai komitmen Srettha untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai resolusi damai dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi di selatan Thailand dan utara Malaysia iaitu Kelantan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand. Sebelum ini kita berjumpa di Sadao dan Bukit Kayu Hitam. Alhamdulillah ada kemajuan, dan ini isyarat penting ke arah kerjasama dan mencapai keamanan dan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Srettha dalam ucapannya berkata utara Malaysia dan selatan Thailand telah dikurniakan sumber asli dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau menyatakan, banyak isu yang dibincangkan hari ini seperti jambatan Sungai Golok yang akan memudahkan pembangunan ekonomi Malaysia dan Thailand.

“Kami membincangkan zon ekonomi khas yang akan kami usahakan bersama. Menteri-menteri Luar akan bertemu minggu depan untuk membincangkan langkah seterusnya, yang kami harap dapat dilaksanakan untuk membangunkan perniagaan makanan halal dan ladang getah.

“Ini adalah kawasan utama yang kita sedang lihat,” tambahnya. – 3 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen