Penamaan calon ditutup untuk PRK Nenggiri


PRK Nenggiri menyaksikan perlawanan antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail. – Gambar Facebook, 3 Ogos, 2024.

PROSES penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sudah ditutup dengan kemungkinan ia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail.

Rizwadi tiba di pagar Dewan Perdana pada 8.50 pagi diiringi kira-kira 800 penyokong dan Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Bersatu negeri Kamaruddin Mohd Nor.

Azmawi tiba 15 minit kemudian dengan sokongan 800 penyokong dan pemimpin parti.

Beliau tiba bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani serta Pengarah Pilihan Raya BN untuk Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Calon akan berkempen selama dua minggu sebelum hari mengundi pada 17 Ogos.

PRK Nenggiri diadakan susulan Yang Dipertua DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi itu yang sebelum ini dipegang Mohd Azizi Abu Naim, kosong.

Pengundi berdaftar bagi kerusi Nenggiri adalah 20,245. – 3 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen