PEMAIN perseorangan lelaki Lee Zii Jia berjaya mara ke separuh akhir pada Sukan Olimpik 2024 Paris selepas menewaskan Anders Antonsen dari Denmark dengan kemenangan straight set, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan di Arena Porte de La Chapelle itu, Zii Jia menewaskan pemain nombor tiga dunia itu dengan 21-17, 21-15 dalam masa 53 minit.
Zii Jia terdahulu menewaskan jaguh nombor 20 dunia, Toma Junior Popov dengan 21-13, 24-22.
“Saya gembira dengan permainan saya. Saya juga terkejut boleh berasa tenang dalam perlawanan besar ini walaupun Antonsen nampak sangat hendak menang tetapi di hujungnya membuat beberapa kesilapan,” kata Zii Jia dalam temubual dengan Persekutuan Badminton Dunia selepas perlawanan.
“Ini Olimpik, dan semua orang hendak menang, dan ia bergantung kepada siapa boleh kekal tentang dan menangani semua keadaan terutama tekanan.”
Bagi aksi separuh akhir esok, anak jati Alor Setar, Kedah itu bakal berdepan wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menghuni ranking nombor lapan dunia.
Bintang muda Thailand itu mengejutkan jaguh nombor satu dunia, Shi Yu Qi dari China 21-12, 21-10 dalam satu lagi suku akhir. – 3 Ogos, 2024.
Komen