PEMAIN skuasy negara Sivasangari Subramaniam merupakan antara empat pemain skuasy yang terpilih di bawah program latihan atlet Laluan Pantas sebagai persediaan awal untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028, kata Kementerian Sukan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemain skuasy lain yang terpilih adalah Ng Eain Yow, Aifa Azman, dan Aira Azman.
Atlet di bawah inisiatif ini akan menerima geran latihan individu dalam bentuk bantuan latihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, sokongan perubatan serta sains sukan, pendedahan latihan di luar negara dan perkhidmatan kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.
Keputusan ini dibuat semasa Bengkel Laluan Pantas RTG LA 2028 yang diadakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan wakil persatuan, jurulatih, pegawai MSN dan ISN dari 1 hingga 3 Mei.
“Sivasangari, yang akan berpangkalan di Ithaca, New York akan diawasi oleh jurulatih peribadi David Palmer dan mendapat perkhidmatan jurulatih fizikal Mark Burn.
“Beliau juga akan menerima sokongan perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan di pusat latihan Burn serta di Institut Sukan Negara (ISN),” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ng akan menjalani latihan di Msquash Norwalk, Connecticut di AS di bawah bimbingan jurulatih Shaun Moxham dan juga akan menyertai kem latihan pusat di Kaherah, Mesir.
Untuk kedua-dua adik-beradik, Aifa dan Aira Azman, persediaan awal mereka akan lebih memfokuskan kepada menjalani kem latihan pusat di dalam negara bersama jurulatih Andrew Sam Cross.
Mereka juga akan menyertai program lampiran secara berkala di Pontefract, UK.
Kedua-dua atlet ini juga akan dibantu oleh jurulatih fizikal yang dikenalpasti dan prestasi fizikal mereka akan dipantau oleh Institut Sukan Negara.
“Kesemua atlet ini ditetapkan sasaran (milestone) yang perlu dicapai setiap tahun.
“Antaranya adalah meningkatkan kedudukan dunia dan memenangi pingat di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026,” kata kementerian.
Kementerian turut menambah Jawatankuasa RTG melalui Majlis Sukan Negara akan terus mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan persediaan menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dapat dimulakan sebaik sahaja Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.
Kementerian itu memberi maklum balas terhadap artikel di The Malaysian Insight yang mempersoalkan kekurangan sokongan untuk Sivasangari. – 2 Ogos, 2024.
Komen