HUKUMAN paling berat bakal dihadapi syarikat penyedia perkhidmatan dilesenkan di bawah peraturan pelesenan media sosial baharu adalah digantung, pendaftaran lesen dibatalkan atau didakwa, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Hukuman terdiri daripada amaran pentadbiran kepada pematuhan notis, dan seterusnya pendakwaan.
SKMM berkata ia akan menilai pelanggaran yang dilakukan termasuk tahap teruk, kesan dan kekerapan, selain rekod pematuhan syarikat terbabit, dalam menentukan tindakan munasabah untuk dikenakan terhadap mereka.
“Dalam keadaan itu, SKMM boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan sekiranya penyedia perkhidmatan berlesen melanggar syarat lesen dan/atau keperluan tatalaku.
“Dalam kes lebih teruk, SKMM boleh menggantung akses kepada platform syarikat penyedia perkhidmatan itu, membatalkan lesen atau didakwa.”
Pada 27 Julai lepas, SKMM memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen ASP (C) di bawah Akta 588.
Langkah itu akan dikuat kuasa pada 1 Januari, 2025 susulan pengenalan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial hari ini.
Lesen perlu dimohon adalah Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi (ASPC).
Menurut soalan lazim di laman sesawang SKMM hari ini, keputusan atau arahan suruhanjaya itu adalah tertakluk kepada proses serta prosedur yang diperuntuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
SKMM memaklumkan aspek yang turut ditanda aras ialah perlindungan ke atas data pengguna, langkah-langkah keselamatan kanak-kanak, memerangi gangguan dalam talian dan buli siber, penggunaan data pengguna untuk tujuan pengiklanan secara beretika serta pemerkasaan pengguna.
“Di bawah akta itu, terdapat perlindungan kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia, proses undang-undang yang sewajarnya dan perlindungan ke atas kebebasan bersuara.”
Pengguna media sosial tidak perlu memohon lesen itu, yang terguna pakai hanya untuk syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.
Ini bermakna Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube akan perlu membuat permohonan lesen setiap tahun, kata SKMM. – 2 Ogos, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen