Trend childfree jerumus negara ke arah pembentukan masyarakat tua


MATLAMAT bagi setiap individu yang mengikat tali pernikahan sudah pastinya adalah bagi membentuk sebuah keluarga bahagia.

Secara dasarnya sebuah unit keluarga asas adalah terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Namun, kini seiring dengan perkembangan semasa dan pengaruh pemikiran dan budaya merentasi sempadan, konsep pemikiran dalam pembentukan keluarga bagi pasangan baru berkahwin mula cenderung kepada perkahwinan bebas anak atau dengan kata lain disebut sebagai “childfree marriage”.

Pemikiran ini sudah pastinya mempunyai pengaruh dan tanggapan dari pelbagai perspektif. Jika dilihat pada sejarah asal usul terbentuknya prinsip pemikiran ini adalah dari pemikiran masyarakat yang tinggal di negara barat kerana majoriti mereka adalah berpegang kepada prinsip kebebasan dalam kehidupan mereka.

Dalam erti kata lain apabila mereka mencapai umur tertentu golongan ini bebas menentukan apa sahaja yang ingin mereka lakukan terhadap diri dan juga kehidupan mereka di mana individu lain tidak berhak melakukan intervensi dalam keputusan tersebut.

Terma childfree ini kebiasaanya merujuk kepada individu dewasa yang merancang atau tidak mempunyai keinginan untuk memiliki anak. Dengan kata lain, mereka adalah individu dewasa yang memilih untuk tidak memiliki anak walaupun mereka mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Tanpa kita sedar konsep pemikiran childfree marriage ini mula menular terutama bagi pasangan muda yang baru berkahwin disebabkan oleh beberapa faktor seperti kestabilan kewangan, pemerkasaan kendiri dan persekitaran dan psikologi.

Golongan ini memilih untuk menjalani kehidupan perkahwinan secara childfree sentiasa beranggapan dengan kehadiran anak akan menyebabkan beban kewangan mereka meningkat.

Perkara ini didorong faktor peningkatan kos sara hidup pada masa kini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi yang berlaku saban tahun.

Selain itu, pasangan muda ini sering beranggapan kehadiran zuriat dalam perkahwinan akan menghalang mereka untuk terus membangunkan kapasiti diri ke peringkat lebih tinggi disebabkan keperluan untuk membahagikan masa dan wang di antara urusan peribadi dan keluarga.

Tambahan pula, mereka beranggapan dengan mempunyai anak akan menyebabkan mereka perlu menanggung beban kewangan tinggi serta tidak akan dapat menikmati gaya kehidupan yang diingini.

Di samping itu, golongan ini juga sering berpendapat kehadiran anak akan menyebabkan mereka tidak mampu memberikan keutamaan kepada pasangan masing-masing sama ada suami atau isteri.

Faktor yang mempengaruhi trend perkahwinan bebas anak ini boleh berpunca daripada perspektif luaran mahupun dalaman.

Mereka juga berpendapat keputusan tersebut adalah hak kebebasan mereka dalam erti kata lain mereka berpegang kepada konsep “tubuh mereka, adalah hak mereka”.

Perkembangan trend pemikiran ini sekiranya tidak dikawal di peringkat awal lagi sudah pastinya akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Maziah binti Che Yusoff menyatakan penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) bagi wanita di Malaysia akan mempercepatkan proses penuaan penduduk di Malaysia, di mana dijangka 15% penduduk di Malaysia berusia 60 tahun dan keatas pada 2030.

Keadaan dapat diunjurkan apabila berlakunya penurunan bilangan anak yang pesat bagi seorang wanita dari 6.7 anak pada 1957 kepada 4.0 anak pada 1980, 3 anak (2000), 2.1 anak (2010) dan 1.7 anak (2021), situasi ini secara tidak langsung akan mempengaruhi pertumbuhan negara pada masa akan datang.

Pengurangan kadar kelahiran yang berlaku secara pesat di Malaysia ini akan menjerumuskan populasi negara kepada pembentukan masyarakat tua yang secara tidak lansung akan menjejaskan pembangunan negara pada masa akan datang. Walaupun masalah ini tidak berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

Namun, dalam tempoh masa 10, 20 atau 30 tahun akan datang sudah pasti peratus golongan warga emas akan lebih tinggi berbanding populasi individu yang seharusnya tergolong dalam kumpulan produktif di dalam pasaran pekerjaan bagi memastikan kelansungan ekonomi sesebuah negara.

Sekiranya krisis pertumbuhan populasi sesebuah negara mula menuju kearah pembentukan masyarakat tua, situasi yang terjadi akan menurunkan kadar potensi produktiviti tenaga kerja dan pendapatan kasar negara.

Pada masa sama akan meningkatkan berlakunya masalah sosial seperti “lonely death” yang banyak berlaku di Jepun. Keadaan ini terjadi apabila golongan warga emas yang tinggal bersendirian tanpa ahli keluarga meningal dunia tanpa disedari masyarakat sekeliling.

Kesimpulannya, pembentukan unit keluarga dasar yang kukuh perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat yang lebih harmoni dan membangun pada masa akan datang.

Oleh itu, corak pemikiran childfree marriage ini seharusnya dibendung bermula dari peringkat awal lagi bagi mengelakkan dari berlakunya masalah sosial di kalangan warga emas.

Sekali gus memastikan kesihatan mental yang optimum di kalangan masyarakat serta mengurangkan risiko masalah ketidak seimbangan populasi penduduk yang lebih serius pada masa akan datang.

Tidak salah untuk pasangan mengawal kadar kelahiran anak dalam sesebuah keluarga dengan tujuan bagi memastikan kebajikan, pendidikan, kesihatan, kewangan dan kasih sayang dapat diberikan secara optimum.

Namun, adalah tidak wajar untuk pasangan yang berkahwin memilih untuk childfree marriage melainkan disebabkan faktor kesihatan kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia. – 2 Ogos, 2024.

* Nurul Ashikin Alias adalah felo penyelidik UAC, Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Saya tidak rasa wajar menyalahkan mereka dlm hal ni. Dalam hal ini, kita kena peka dengan "concern" mereka. "Concern" ini perlu diangkat oleh kerajaan dan kerajaan perlu mencari jalan kepada concern ini. Bila masa depan terjamin, maka barulah mereka jadi lebih yakin untuk mendapatkan keluarga.

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh MOHD NAFIS MOHD GHAFLAN · Ulasan