PERLAWANAN badminton perseorangan lelaki peringkat kumpulan membabitkan atlet Israel dan Nepal disiarkan secara tidak sengaja dalam tempoh kurang daripada lima minit di Saluran Olimpik 4 RTMKlik pada malam Rabu.
Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan tengah malam tadi bagaimanapun berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil tindakan segera dengan menukar siaran ke acara lain iaitu bola baling.
“RTM selaku Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia secara langsung di Saluran Okey pada jam 8.50 malam hingga 9.30 malam, 31 Julai (MyTV, Astro & RTMKlik).
“RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui Saluran TV Okey dan Saluran Sukan serta enam saluran khas di RTMKlik bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik lebih dekat bermula 27 Julai hingga 12 Ogos,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta RTM memberi penjelasan berhubung dakwaan tiada siaran langsung aksi pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Ia susulan pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel Misa Zilberman dan atlet Nepal Prince Dahal. – 2 Ogos, 2024.
Komen