Kerajaan setuju buka semula kes Beng Hock, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan jaminan siasatan kes Teoh Beng Hock akan dijalankan dengan cara yang telus dan adil tanpa sebarang campur tangan luar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2024.

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk membuka semula siasatan mengenai kematian pembantu politik Teoh Beng Hock pada tahun 2009, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau juga memberikan jaminan siasatan akan dijalankan dengan cara yang telus dan adil tanpa sebarang campur tangan luar.

Anwar berkata demikian selepas bertemu dengan ahli keluarga Teoh di Putrajaya.

Mewakili keluarga tersebut adalah ibu bapa Teoh, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, anaknya Teoh Er Jia dan kakaknya Teoh Lee Lan.

“Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga. Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang.

“Saya memberitahu mereka pendirian kerajaan bahawa ia bersetuju supaya polis membuka semula kertas siasatan berkaitan kematian Allahyarham Teoh Beng Hock,” katanya.

“Saya nyatakan pendirian Kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian mendiang Beng Hock.

“Saya beri jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Julai lalu Anwar berkata beliau akan segera bertemu dengan keluarga Teoh dan meneliti memorandum mereka yang meminta keadilan untuk Teoh.

Jaminan dibuat selepas polis menghalang sekumpulan penyokong dan ahli keluarga Teoh di pintu pagar Parlimen, menghalang mereka daripada menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

Dalam insiden yang berlaku beberapa individu termasuk kakak Teoh, Lee Lan dikasari oleh polis.

Kumpulan tersebut sebelum ini mengakhiri perarakan tiga hari mereka di Parlimen dan mahu menyerahkan memorandum kepada Anwar yang menuntut keadilan untuk Teoh yang meninggal dunia di ibu pejabat MACC Selangor di Shah Alam 15 tahun lalu.

Pada 2009, Teoh yang merupakan pembantu kepada ahli majlis eksekutif Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam. Beliau telah disoal siasat di tingkat 14 ibu pejabat MACC Selangor.

Siasatan koroner pada tahun 2011 mengeluarkan keputusan terbuka. Keluarganya kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
 
Tiga tahun kemudian Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan terbuka tersebut dan memutuskan kematian Teoh disebabkan oleh kecederaan yang banyak akibat tindakan tidak sah oleh individu tidak dikenali.

Pada Jun 2018 kabinet meluluskan pembukaan semula siasatan mengenai kematian Teoh. Namun empat bulan kemudian polis berkata mereka belum menerima sebarang arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk berbuat demikian.

Polis kemudian memfailkan semula kes tersebut di bawah tuduhan kecil “penahanan salah” dan bukannya pembunuhan.

Pada Ogos 2023, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis menyelesaikan siasatan mereka dan menyerahkan laporan kepada Pejabat Peguam Negara.

Kumpulan sokongan Teoh sebelum ini mengkritik Anwar kerana gagal berhubung dengan mereka sejak beliau memegang jawatan pada Ogos 2023. – 1 Ogos, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen