PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata pembunuhan Ismail Haniyeh, Pengerusi Biro Politik pergerakan penentangan Hamas, adalah satu tindakan keji.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini.
“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.
“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata hanya mereka yang lalai dan tidak berhati-hati tidak akan melihat keperluan untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel bagi menghentikan pembantaian.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.
“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.
Terdahulu hari ini, kumpulan militan Palestin Hamas dan Pengawal Revolusi elit Iran melaporkan bahawa Haniyeh telah dibunuh di Iran.
Kumpulan pejuang Islam itu sedang berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam “serangan khianat Zionis di kediamannya di Tehran”.
Beliau hadir pada majlis mengangkat sumpah presiden baharu Iran semalam.
Haniyeh adalah wajah antarabangsa untuk Hamas dan pemimpin paling kanan kumpulan pejuang itu yang dibunuh oleh Israel sejak serangan pada 2004 yang menyebabkan pengasas Hamas Sheikh Ahmed Yassin terbunuh di Gaza.
Haniyeh, 62, adalah ketua biro politik Hamas dan menetap di Qatar sejak tahun lalu. – 31 Julai, 2024.
Komen