PENGANJUR Good Vibes Festival mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan muzik Britain, The 1975 susulan tingkah laku anggota kumpulan itu yang melanggar peraturan ketika membuat persembahan di Sepang tahun lalu.
Tuntutan itu difailkan terhadap semua ahlinya secara individu di sebuah mahkamah di United Kingdom susulan kontroversi insiden di atas pentas membabitkan vokalis utama Matty Healy.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat majalah hiburan Amerika, Variety, Future Sounds Asia menuntut RM11.25 juta susulan festival itu terpaksa dihentikan akibat perbuatan biadab Healy.
Media melaporkan persembahan kumpulan itu di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas Healy melakukan perbuatan yang tidak senonoh di depan peminatnya.
Dia didakwa memegang botol arak ketika di pentas, ditambah lagi dengan membuat kenyataan yang menghina undang-undang Malaysia berkaitan kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT).
Penganjur mendakwa kumpulan itu dan pengurusannya tahu berkenaan beberapa peraturan dan larangan yang dikenakan ketika membuat persembahan di Malaysia.
Ini bukan kali pertama kumpulan itu dimaklumkan berkenaan peraturan itu kerana mereka pernah membuat persembahan di festival itu pada 2016.
Healy tidak ditahan kerana dia keluar dari negara ini bersama ahli kumpulan itu pada awal pagi Sabtu, kira-kira enam jam selepas insiden itu. Polis tidak menerima laporan hinggalah jam 2 petang hari sama. – 31 Julai, 2024.
Komen