Polis masih siasat motif penculikan Albertine


Albertine Leo Jia Hui hilang pada satu program Bon Odori di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 8.30 malam, 20 Julai lalu. – Gambar Facebook, 30 Julai, 2024.

POLIS masih menyiasat motif penculikan kanak-kanak enam tahun, Albertine Leo Jia Hui pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Johor M. Kumar berkata sebarang maklumat tambahan berkenaan kes itu akan hanya dikongsikan selepas siasatan selesai.

“Setiap perbuatan jenayah pasti ada motif. Polis reman suspek dan saya akan berikan maklumat terkini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata laporan perubatan Albertine mengesahkan kanak-kanak itu diselamatkan dalam keadaan tidak cedera.

“Siasatan masih dijalankan dan saya tidak mahu dedahkan apa-apa yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Albertine hilang pada satu program Bon Odori di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 8.30 malam, 20 Julai dan ditemui selamat di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 4.45 petang, 23 Julai.

Semalam seorang suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama mangsa di hotel bajet berkenaan, direman hingga Ahad.

Empat lagi suspek iaitu dua lelaki dan dua perempuan, berusia antara 28 dan 55 tahun, dibebaskan dengan jaminan polis.

Mereka sebelum itu direman empat hari hingga Jumaat lalu selepas tempoh reman tidak disambung. – 30 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen