Kawasan dominan Orang Asli perlu diwujudkan, kata veteran politik


Bergantung kepada ahli politik lain mungkin tidak berkesan kerana hanya Orang Asli yang lebih faham masalah dihadapi masyarakat itu, kata bekas speaker DUN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2024.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan persempadanan semula untuk mewujudkan satu kawasan di Kelantan di mana pengundi Orang Asli adalah kumpulan dominan, kata seorang ahli politik veteran.

Ini bagi membolehkan kumpulan minoriti itu mempunyai kesedaran tentang politik, kata bekas speaker DUN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Beliau berkata ada keperluan masyarakat Orang Asli diberikan suara lebih besar dan efektif dalam arena politik negara.

“Mereka berdepan ancaman, yang akan memerlukan suara politik untuk diselesaikan, contohnya berkaitan isu pencemaran dan sesuatu yang membahayakan cara hidup mereka.

“Bergantung kepada ahli politik lain mungkin tidak berkesan kerana hanya Orang Asli yang faham apa berlaku dan kenapa mereka lebih memilih untuk kekal tinggal di hutan,” katanya dalam satu temubual.

Wan Abdul Rahim berkata mengikut undang-undang, sekali dalam setiap lapan tahun, SPR boleh mempertimbangkan untuk melakukan persempadanan semula bagi mengikut trend mengundi dan keperluan setiap kawasan pilihan raya.

Pada masa ini terdapat 222 kawasan Parlimen dan kira-kira 600 kawasan DUN di negara ini.

Dengan SPR dilaporkan sedang mempertimbangkan satu lagi pelaksanaan persempadanan semula, Wan Abdul Rahim berkata sudah tiba masanya Orang Asli diberikan satu kawasan eksklusif untuk mereka.

Dan kawasan paling sesuai di Kelantan adalah di bawah DUN Galas dan Nenggiri yang boleh digabungkan untuk mendapatkan kira-kira 6,000 pengundi Orang Asli di kawasan Parlimen Gua Musang, kata Wan Abdul Rahim yang juga bekas ahli Parlimen Kota Baru.

“Ini akan menjadi kerusi yang ideal. SPR boleh gabungkan kerusi Galas dan Nenggiri. Ia akan memberikan suara besar kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Wan Abdul Rahim, yang pernah digelar pakar strategi utama PAS Kelantan, aktif dalam politik negeri itu sejak 1986 dan pernah dua kali bertanding di Parlimen Guang Musang tetapi tewas kepada pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ada beberapa isu menekan masyarakat Orang Asli, antaranya adalah pembangunan pesat menjejaskan cara hidup mereka, terutama di Gua Musang di mana mereka tinggal di hutang di tanah tinggi Lojing.

The Malaysian Insight pada Ahad melaporkan masyarakat Orang Asli di Nenggiri bercadang menggunakan pilihan raya kecil (PRK) akan datang untuk mendesak tindakan dikenakan terhadap aktiviti pembersihan hutan untuk pembangunan di kawasan mereka iaitu di Gua Musang.

Mereka berkata pembangunan berterusan menjejaskan kualiti hidup mereka sejak lebih sedekad lalu.

Daripada pencerobohan hidupan liar yang kerap ke kampung mereka di kaki bukit Lojing hinggalah pencemaran sumber air dan plot sayur-sayuran yang musnah serta banjir kilat ditambah dengan banjir lumpur yang berleluasa, masyarakat kecewa dengan nasib malang mereka.

Dua wakil masyarakat Orang Asli duduk bersama The Malaysian Insight baru-baru ini untuk mengetengahkan nasib mereka dan bagaimana masyarakat itu berhasrat untuk mencari jalan keluar menerusi politik.

Baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dr Ramli Mohd Nor yang juga ahli Parlimen pertama di negara ini daripada kalangan Orang Asli, berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak berkesan dalam usahanya untuk membantu menegakkan hak dan kebajikan masyarakat itu.

“Wakil Jakoa di daerah adalah pegawai gred N22, iaitu sama seperti kerani. Mereka tidak dibenarkan buat keputusan tertentu dan selalunya perlu merujuk kepada pegawai atasan mereka,” kata Ramli dipetik daripada Free Malaysia Today.

Beliau berkata Jakoa perlu dirombak untuk menempatkan pegawai berjawatan tinggi dan dinilai semula peranan jabatan itu.

PRK Nenggiri dijadualkan diadakan pada 17 Ogos, berkemungkinan menyaksikan gabungan perpaduan pimpinan Barisan Nasional menentang Perikatan Nasional yang memerintah negeri itu.

Terdapat kira-kira 2,700 pengundi Orang Asli berdaftar di Nenggiri, yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Kota Bharu, ibu negeri dan hab komersial Kelantan.

Komposisi pengundi ialah Melayu (85.93%), Orang Asal (13.84%), Cina (0.20%) dan India (0.03%) di Nenggiri.

Umno menamakan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan seorang penduduk tempatan di Gua Musang sebagai calonnya.

Bersatu dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menamakan sama ada bekas ketua Pemuda Umno Gua Musang Sheikh Razali Hamad atau pegawai kerajaan Kelantan Sun Najaman Muhamad sebagai calon.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kerusi DUN Kelantan melucutkan kelayakan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu pada persidangan bulan lepas berikutan sokongannya yang nyata kepada kerajaan persekutuan perpaduan nasional. – 30 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen