SUSPEK kes penculikan kanak-kanak enam tahun Albertine Leo Jia Hui diperintah untuk ditahan reman selama enam hari lagi.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Noorfazlin Hamdan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Noorfazlin memerintahkan tempoh reman bagi suspek lelaki berusia 31 tahun bermula esok hingga Ahad ini.
Sebelum ini suspek diperintah reman selama tujuh hari dari 23 Julai hingga hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Suspek tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan memakai baju-T ungu dan bergari serta dikawal rapat oleh pegawai polis.
Pagi ini Ketua Polis Johor Komisioner Polis M Kumar dilaporkan memohon untuk memanjangkan tempoh reman terhadap suspek lelaki tempatan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap dia yang ditangkap bersama mangsa di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak yang dilaporkan hilang oleh bapanya pada pukul 8.30 malam pada 20 Julai di sebuah pusat membeli-belah.
Kanak-kanak tersebut ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali pada jam 4.45 pagi pada 23 Julai,dan polis turut menangkap seorang lelaki yang ditemui bersama mangsa. – 29 Julai, 2024.
Komen