CHEGUBARD atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengenai pendedahannya tentang rasuah yang melibatkan seorang pegawai tentera laut.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah tersebut yang bermula hari ini dan berakhir esok.
Peguam Chegubard, Rafique Rashid berkata polis memohon tempoh reman selama empat hari untuk anak guamnya tetapi mahkamah hanya memberikan dua hari.
“Permohonan reman selama empat hari dibuat oleh pegawai penyiasat tetapi selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, majistret mengklasifikasikan Badrul sebagai pemberi maklumat yang perlu diberikan perlindungan undang-undang dan tidak boleh dikenakan tindakan jenayah atau sivil. Majistret kemudian memberi reman selama dua hari,” katanya di kompleks mahkamah hari ini.
Rafique berkata ahli Bersatu itu sedang disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) untuk komunikasi yang salah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Badrul tiba di mahkamah hari ini sekitar jam 9.15 pagi dan keluar pada 11.30 pagi dengan kawalan polis.
Dia ditangkap semalam pada jam 3 petang susulan pendedahannya tentang rasuah dalam kalangan pegawai tentera laut. – 29 Julai, 2024.
Komen