Pelajar dibawa pulang dari Bangladesh boleh belajar di sini, kata Zambry


Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir pelajar terbabit juga akan diberikan kaunseling bagi mengelakkan tekanan tidak wajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2024.

PELAJAR Malaysia yang dibawa pulang dari Bangladesh boleh sama ada menyambung pelajaran di negara ini atau pulang ke Bangladesh apabila keadaan di sana kembali selamat, kata Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pelajar mengenai perkara itu.

“Kita akan lihat situasi semasa mereka dan pilihan yang mereka suka, sama ada mahu melanjutkan pelajaran di dalam negara (atau tidak). Walau bagaimanapun, kita juga perlu mempertimbangkan kelayakan, status, dan subjek yang mereka ambil.

“Tetapi, tanpa menyebabkan mereka tekanan yang tidak wajar… kami mahu memberi mereka kaunseling atau meminta mereka berjumpa pegawai kami untuk memahami kedudukan mereka,” katanya, lapor Bernama.

Beribu-ribu pelajar di Bangladesh telah membuat bantahan sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan semula kuota untuk pekerjaan sektor awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Protes ganas itu telah meragut lebih 130 nyawa.

Susulan itu, 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar dibawa pulang dari Bangladesh melalui penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu. – 29 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen