Hukuman mati ke atas bekas kadet wajar, kata MCPF 


Pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia pada 1 Jun, 2017 di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas didera dengan seterika wap, yang menyebabkan 80% badannya melecur.– Gambar Facebook, 27 Julai, 2024.

HUKUMAN mati yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) atas tuduhan membunuh pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu adalah wajar dan adil, kata Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Naib pengerusi kanan MCPF, Ayub Yaakob berkata, pertubuhan itu percaya bahawa mendera seseorang sehingga mati adalah melanggar norma manusia secara terang-terangan, terutama apabila dilakukan oleh individu terpelajar.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCPF berkata perbuatan mengambil nyawa manusia oleh mereka yang tidak mengambil kira orang lain adalah dilarang dalam Islam.

“MCPF tidak bersetuju dengan bantahan yang dibangkitkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung hukuman mati yang dikenakan ke atas enam orang itu.

“Suhakam perlu faham walaupun kerajaan telah memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kes pembunuhan dan pengedaran dadah, hakim masih mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati dalam kes tertentu,” kata Ayub.

Suhakam sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan kepada enam bekas pelajar itu, dengan alasan hukuman sedemikian bukanlah penyelesaian yang adil dan berkesan.

Badan pemerhati hak asasi manusia itu juga menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan yang lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

Mahkamah Rayuan Putrajaya baru-baru ini menjatuhkan hukuman mati terhadap enam bekas pelajar UPNM yang disabitkan kesalahan membunuh Zulfarhan tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan untuk membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengetepikan hukuman penjara 18 tahun sebelum ini.

Hadhariah yang mempengerusikan panel itu berkata hukuman mati adalah wajar memandangkan kezaliman tindakan Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Sofi, Najib Razi, Afif Najmudin Azahat, Shobirin Sabri, dan Hakeem Ali, kesemuanya berusia 28 tahun

Pada 1 Jun 2017, Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang akibat kecederaan berpunca daripada seterika wap, yang menyebabkan 80% badannya melecur.

Mahkamah sebelum itu mensabitkan kesalahan membunuh Zulfarhan di asrama Jebat UPNM pada 22 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi pada 2021 telah membicarakan keenam-enam mereka kerana membunuh tetapi mengurangkan pertuduhan mereka kepada membunuh tanpa niat yang tidak sama dengan pembunuhan dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian memohon hukuman mati ke atas enam tertuduh sebagai pencegahan buli dan penderaan melampau. – 27 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen