Sanusi patut terima fakta sejarah tentang Pulau Pinang, kata Chow


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata menteri besar Kedah sepatutnya fokus kepada mentadbir negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2024.

MENTERI Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor sepatutnya fokus kepada mentadbir negeri dan menerima fakta sejarah yang negeri berjiran Pulau Pinang adalah merdeka seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Oleh itu, Chow berkata Sanusi tidak perlu mewujudkan pasukan penyelidik untuk mengkaji status sejarah Pulau Pinang dan Kedah.

Mengulas laporan penyelidikan itu akan didedahkan kepada umum hujung tahun ini, Chow berkata pelbagai pihak berhak atas versi masing-masing, tetapi hakikatnya adalah Pulau Pinang negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sanusi berkata hasil penyelidikan akan berasaskan kepada arkib dan perjanjian bertarikh seawal tahun 1821, yang dikumpul dari United Kingdom, Belanda, Thailand dan Indonesia.

Pulau Pinang ditubuhkan pada 1786 oleh Francis Light.

“Kami tidak menafikan Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah pada masa dulu tetapi tolong terima yang Pulau Pinang adalah negeri bebas dan kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak perlu anda pergi seluruh dunia untuk kumpul 20,000 dokumen berkaitan fakta yang sudah pun diketahui ini,” kata Chow selepas menghadiri satu program malam tadi.

Terdahulu, Sanusi, graduan Universiti Sains Malaysia yang pernah bekerja dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang itu meminta Pulau Pinang membayar pampasan lebih tinggi kepada Kedah untuk pajakan pulau dan Seberang Prai disebabkan penipuan yang didakwa berlaku menyebabkan wilayah itu dirampas daripada Kesultanan Kedah.

Kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta di mana pada masa ini ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti sebanyak RM10,000 setahun dari Pulau Pinang. – 25 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen