BEKALAN air di tujuh daerah di Selangor dijangka pulih sepenuhnya menjelang Jumaat, lapor Bernama.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata bekalan air di sebahagian Kawasan yang terjejas dijangka pulih seawal 8 pagi esok berikutan Loji Rawatan Air (LRA) yang beroperasi sepenuhnya.
“LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 Kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 3 petang semalam.
“Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula 6 petang manakala tiga SSP lagi dijangka pada 8 pagi esok,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam.
Izham berkata premis yang menyebabkan air tercemar apabila sisa mengalir ke sungai dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Selayang.
Pencemaran sungai yang dikesan pada hari Selasa dikaitkan dengan sebuah kilang yang didakwa memproses bahan akrilik untuk kitar semula.
Tujuh kawasan di Lembah Klang - Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan sementara empat LRA berikutan pencemaran tersebut. – 24 Julai, 2024.
Komen