PASPORT Malaysia menduduki tempat ke-12 dalam indeks pasport global terkini, menurun satu tempat dari kedudukan ke-11 tahun lalu.
Menurut laporan New Straits Times yang memetik Indeks Pasport Henley, sebanyak 199 pasport dan 227 destinasi perjalanan dinilai.
Pemegang pasport Malaysia dapat melancong tanpa visa ke 182 dari 227 destinasi di seluruh dunia.
Kedudukan tertinggi pasport Malaysia adalah tempat kelapan pada 2014.
Singapura mengekalkan tempat teratas dalam indeks ini, membolehkan warganya melancong tanpa visa ke 195 destinasi menjadikannya pasport paling berkuasa di dunia.
Indeks ini berdasarkan data komprehensif dari International Air Transport Association (IATA) dan mencerminkan landskap global semasa perjalanan tanpa visa.
Thailand dan Indonesia berada pada tempat ke-60 dan ke-65 masing-masing manakala Brunei menduduki tempat ke-19.
Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar masing-masing menduduki tempat ke-73, ke-86, ke-88, ke-90 dan ke-92 dalam ranking tersebut.
Jepun yang sebelumnya menduduki tempat teratas kini berada di tempat kedua bersama Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Lima negara tersebut memberikan akses tanpa visa kepada warganya ke 192 destinasi.
Pemegang pasport Malaysia dapat menikmati masuk tanpa visa ke destinasi terkenal termasuk United Kingdom, Jepun, Itali, Qatar, Perancis, dan Emiriah Arab Bersatu. – 24 Julai, 2024.
Komen