Rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua rakyat Malaysia di Bangladesh susulan perkembangan di negara itu makin membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2024.

KERAJAAN akan membawa pulang semua rakyat Malaysia di Bangladesh susulan ketegangan semakin memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat Malaysia dan memutuskan untuk membawa pulang selepas memantau perkembangan terkini di Bangladesh.

“Sama ada mereka adalah pelajar tajaan kerajaan atau persendirian, kami akan bantu mereka. Menteri luar akan mengadakan mesyuarat jika perlu untuk menyewa pesawat untuk membawa mereka pulang.

“Keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan kami. Pada beberapa hari pertama, keadaan nampak terkawal tetapi sekarang, berdasarkan maklumat daripada kedutaan, adalah lebih baik untuk membawa rakyat kita pulang,” katanya selepas melancarkan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Luar Mohamad Hasan pada sidang akhbar hari ini berkata kerajaan akan membawa pulang semua rakyat Malaysia di Bangladesh selepas pelan evakuasi serta-merta menerima lampu hijau daripada perdana menteri. – 22 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen