PERTUMBUHAN ekonomi Malaysia yang diunjurkan pada 5.8% untuk suku kedua tahun ini, akan membolehkan negara bangkit sebagai negara gagah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih baik, latihan lebih baik, pemindahan teknologi lebih baik dan ke arah digital serta ke arah transisi tenaga.
“Malaysia pecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan menakjubkan 5.8% pada suku kedua tahun ini, luar daripada jangkaan biasa, luar daripada unjuran yang dikemukakan semua pihak.
“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” katanya di platform X.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8% pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2% pada suku sebelumnya dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku kedua 2022 pada 7.4%.
Angka rasmi akan diumumkan pada 16 Ogos. – 20 Julai, 2024.
Komen