PERSATUAN Penjaja Pulau Pinang mengecam keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung larangan tukang masak warga asing menyediakan makanan tempatan di warung, medan selera dan kedai kopi.
Presidennya, Ooi Thean Huat berkata larangan itu sepatutnya dikenakan terhadap restoran, kafe dan kedai mamak.
“Apa beza antara restoran dan pusat penjaja? Kedua-duanya perlu lesen untuk beroperasi, dan membayar cukai,” katanya kepada FMT.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H’ng berkata kerajaan negeri tidak ada cadangan untuk meluaskan larangan itu kepada kafe dan restoran.
Katanya, ini kerana dapur dia dua outlet berkenaan biasanya di belakang bangunan dan tersorok daripada pelanggan.
Katanya, dasar itu hanya dikenakan kepada penjaja warung dan kedai kopi pada masa ini untuk mengekalkan kualiti hidangan tempatan.
Awal minggu ini, Hng berkata kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menguatkuasakan larangan itu di semua medan selera. Larangan itu dikuatkuasakan di medan selera MBPP pada 2016.
“Inisiatif ini penting untuk mengekalkan keaslian makanan Pulau Pinang,” katanya.
Selain memastikan kualiti hidangan, langkah itu bagi mencegah pengaruh asing terhadap resipi tradisional.
Mulai tahun depan, Pulau Pinang melarang tukang masak warga asing menyediakan 13 hidangan tempatan di pusat penjaja, kedai kopi dan medan selera.
Makanan itu adalah nasi lemak, laksa, pasembor, mi sotong, kuetiau goreng, kuetiau sup, mi Hokkien, mi kari, mi wan tan, loh bak, chee cheong fun, char koay kak dan oh chien.
Hng menafikan larangan itu adalah diskriminasi terhadap pekerja warga asing. – 20 Julai, 2024.
Komen