SYARIKAT Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut terbabit dalam masalah gangguan siber di seluruh dunia, yang menyebabkan masalah teknikal dalam sistem tiket dan saluran aduannya.
“Untuk makluman Sistem Tiket Integrasi KTMB (KITS) sedang mengalami gangguan teknikal akibat Crowdstrike Microsoft Windows.
“Kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengguna kecoh di media sosial berikutan laman web KTMB dan aplikasi KITS tidak berfungsi.
Gangguan siber itu menjejaskan beberapa industri di seluruh dunia dengan banyak penerbangan dibatalkan, dan antara yang terbabit adalah sektor perbankan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan penyiaran dan internet.
Syarikat keselamatan siber Crowdstrike berkata “kecacatan” dalam kemas kini salah satu perisiannya menjejaskan sistem operasi Windows.
Di Malaysia, penumpang di Terminal 2 KLIA terpaksa beratur panjang untuk daftar masuk secara manual dan penerbangan tertunda.
Syarikat penerbangan AirAsia dan Firefly memberitahu mereka terjejas akibat masalah kegagalan sistem menyebabkan penerbangan tertunda dan menjejaskan penumpang. – 19 Julai, 2024.
Komen