GANGGUAN sistem teknologi maklumat (IT) yang dilaporkan di seluruh dunia turut menjejaskan operasi penerbangan di Malaysia, dengan pesawat berlepas dari Terminal 2 KLIA terjejas teruk.
Ini menyebabkan penumpang terpaksa beratur panjang di Terminal 2 KLIA dan beberapa penerbangan terpaksa ditunda.
Gangguan itu dikatakan berpunca daripada masalah di syarikat perisian sekuriti siber CrowdStrike, yang menjejaskan sistem operasi Windows Microsoft.
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia melaporkan syarikat itu mengalami gangguan sistem, namun tiada pembatalan penerbangan dilakukan hari ini.
Penumpang melepaskan rasa marah di media sosial, berkongsi pengalaman masing-masing berdepan masalah teknikal, menyebabkan mereka terpaksa mendaftar masuk secara manual.
“Semua sistem daftar masuk (online, kiosk) untuk penerbangan AirAsia mengalami masalah teknikal. Bagi mereka yang akan berlepas, sila tiba awal di Terminal 2 KLIA.
“Kalau anda tiada pas masuk atau perlu meletakkan bagasi, anda perlu beratur di kaunter,” kata pengguna X, Syahrul Azlan, lapor bernama.
Ramai juga pengguna berkongsi gambar beratur panjang di lapangan terbang.
“Sistem utama tempahan dan daftar masuk kami mengalami masalah IT yang menjejaskan syarikat penerbangan di seluruh dunia.
“Anda mungkin mengalami proses daftar masuk lebih perlahan dan beratur yang panjang, dan kami melakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini.
“Kami hargai kesabaran dan pemahaman anda pada waktu seperti ini,” kata AirAsia dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Firefly dalam satu kenyataan berkata mereka berdepan gangguan dalam sistem tempahan Navitaire, menambah penumpang tidak dapat membuat tempahan penerbangan, urus tempahan atau daftar masuk secara atas talian.
Di media sosial, banyak kemas kini menunjukkan staf melakukan daftar masuk secara manual untuk penumpang.
Terdahulu, Bernama melaporkan perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas akibat gangguan IT di seluruh dunia yang menyebabkan ganggan perjalanan di lapangan terbang Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
Malaysia Airlines turut dilaporkan tidak terjejas.
Walaupun tiada pembatalan penerbangan pada masa ini, penerbangan ke destinasi yang terjejas oleh masalah teknikal global mungkin boleh menjejaskan penerbangan Malaysia Airlines.
Laporan berita disiarkan di seluruh dunia berkaitan gangguan perjalanan.
Masalah utama adalah membabitkan sistem komputer yang menyebabkan gangguan kepada pengangkutan, penyiaran, hospital dan sektor lain di seluruh dunia. – 19 Julai, 2024.
Komen