Polis jangan bazir masa siasat ahli kumpulan sokongan Beng Hock


Agora Society berkata PH gagal mendedahkan kebenaran dalam kes Beng Hong, padahal mendiang adalah ahli DAP yang mempertahankan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, 15 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2024.

POLIS tidak seharusnya membazir masa menyiasat mereka yang cuba mendapatkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock dan sebaliknya fokus kepada mencari apa berlaku di sebalik kematiannya 15 tahun lalu, kata gerakan persatuan sivil.

Agora Society berkata polis sepatutnya membantu rakyat dengan memperjuangkan hak asas mereka untuk berhimpun dan berarak seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Namun tindakan dan tingkah laku polis jelas bertujuan mengganggu dan menindas penyokong dan aktivis sosial dalam program Justice Walk Teoh Beng Hock,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Agora Society berkata kerajaan dan polis sudah berulang kali mengecewakan rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan keadilan untuk Beng Hock.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) gagal mendedahkan kebenaran dalam kes Beng Hong ketika kali pertama memegang kerajaan selama 22 bulan.

“Sekarang PH 2.0 memegang kuasa selama setahun lapan bulan, tetapi perdana menteri masih mengelak bertemu keluarga Beng Hock.

“Adakah ini cara PH membayar jasa Beng Hock yang juga ahli DAP yang mengorbankan nyawanya untuk mempertahankan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, 15 tahun lalu?

“Jika PH pun tidak boleh diharapkan untuk mendapatkan kebenaran kes ini dan tidak boleh buat apa-apa, mempertahankan hak ahlinya, kenapa pula rakyat masih percaya yang kerajaan ini peduli tentang rakyat biasa?,” katanya.

Katanya, jika kerajaan diterajui PH tidak mampu menyelesaikan kes itu ketika mereka memegang kuasa, tentulah lebih sukar untuk mengharapkan Perikatan Nasional berbuat yang sama jika mereka mentadbir negara. – 18 Julai, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen