LIMA syarikat Malaysia pada masa ini dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) kerana melanggar larangan dagangan dengan Iran dan Russia, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti).
Miti dalam jawapan di laman web Parlimen hari ini berkata syarikat yang terjejas akibat sekatan unilateral sejak Disember itu adalah Skyline Advanced Technologies Sdn Bhd, Nava Hobbies Sdn Bhd, Integrated Scientific Microwave Technology Sdn Bhd, Arta Wave Sdn Bhd dan Jatronics Sdn Bhd.
Bagaimanapun, kementerian itu berkata sekatan berkenaan tidak akan menjejaskan nilai eksport keseluruhan Malaysia.
Ia berkata implikasi sekatan itu adalah berbentuk individu iaitu antara lain, syarikat terlibat kehilangan akses terhadap sistem kewangan, perdagangan dan perkhidmatan yang mempunyai pangkalan operasi di AS.
“Tiada satu pun syarikat perdagangan tersebut berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk sebarang lesen pembuatan atau insentif. Ini bermakna mereka semua adalah peniaga dan bukan pengilang,” kata kementerian itu.
Terdahulu Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Miti menyenaraikan syarikat Malaysia yang dikenakan sekatan unilateral dan kesannya terhadap eksport negara.
Kementerian itu berkata lima syarikat terbabit disyaki atau dituduh menjalankan aktiviti jual beli dan membekalkan barangan antaranya memudahkan pemindahan bahan, komponen dan teknologi strategik bagi program senjata Iran atau kepada angkatan bersenjata Russia.
Sementara itu, menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status siasatan terhadap Jatronics dan apakah tindakan susulan kerajaan, kementerian berkata ia berhubung dan berjumpa dengan pengarah syarikat tersebut untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.
“Jatronics memaklumkan kebanyakan aktiviti pengeksportan mereka melibatkan eksport barangan litar bersepadu terutama ke Russia,” katanya.
Miti berkata ia sentiasa berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekatan unilateral tersebut dan pada masa sama mengadakan sesi perkongsian maklumat mengenai tatacara menyahsenarai syarikat daripada sekatan berkaitan dengan sebuah firma guaman AS (secara pro-bono).
Miti turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan pandangan lanjut berkaitan implikasi perkhidmatan kewangan kepada syarikat yang disekat secara unilateral. – 18 Julai 2024.
Komen