PM cukup-cukuplah lagak PR, jumpa keluarga Beng Hock segera


Ravin Palanisamy

Selepas 15 tahun kematian Teoh Beng Hock, keluarganya mendesak keadilan terhadap apa yang berlaku kepada pegawai khas exco Selangor itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim digesa berhenti memberikan respons aksi publisiti dan beri tarikh tepat untuk bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock, kata pengerusi kumpulan sokongan keluarga terbabit.

Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) Ng Yap Hwa berkata Anwar sepatutnya bertindak terhadap tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum kumpulan itu.

“Beliau tidak beritahu kita tarikh untuk bertemu. Beliau hanya muat naik di media sosialnya saja.

“Kami tidak mahu beliau hanya datang dan jumpa. Kami tidak mahu aksi PR yang superfisial.

“Kami mahu beliau akui tuntutan kami dan laksanakan,” katanya.

Pada Isnin, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata beliau akan bertemu keluarga mendiang dalam masa terdekat dan menyemak memorandum berkenaan yang menuntut keadilan terhadap kematian Beng Hock.

Anwar juga memuat naik di media sosial memaklumkan beliau tahu berkenaan insiden berlaku di luar Parlimen, membabitkan keluarga dan kumpulan sokongan Beng Hock.

Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata beliau akan bertemu keluarga itu minggu depan.

Pada Isnin, polis menahan ahli dan penyokong kumpulan itu daripada masuk ke pagar Parlimen untuk menghantar memorandum kepada kerajaan.

Berlaku tolak menolak antara penyokong dan polis, termasuk membabitkan adik Beng Hock, Lee Lan.

Kumpulan itu mengadakan “walk for justice” selama tiga hari dan bercadang mengakhirinya di Parlimen dengan menyerahkan memorandum kepada Anwar, mendesak keadilan untuk keluarga itu susulan kematian Beng Hock di ibu pejabat SPRM Selangor, Shah Alam, 15 tahun lalu.

Ng berkata pihaknya berhubung dengan kerajaan sejak 18 bulan lalu tetapi tiada perkembangan.

“Sudah 18 bulan sejak kerajaan ini mentadbir.

“Pada 2022 kami menghantar surat ke Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Dalam Negeri.

“Kami juga berhubung dengan ahli Parlimen kerajaan ini untuk bertemu perdana menteri, tetapi tiada respons.

“Jadi sekarang 18 bulan berlalu. Mereka tinggal tiga tahun setengah lagi. Kerajaan perlu mengatur pertemuan secepat mungkin dan laksanakan tuntutan kami.

“Kalau tidak dilakukan serta-merta, bila lagi mereka hendak buat?,” katanya. – 18 Julai, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen