Kenapa tidak ada persembahan Melayu di George Town Festival


Klip video promosi GTF yang hanya memaparkan budaya Cina dan India dipadam daripada portal rasmi GTF susulan aduan dibuat Persatuan Melayu Pulau Pinang. – Gambar tangkap layar, 16 Julai, 2024.

PERSATUAN Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang juga pertubuhan Melayu tertua di negara ini, mengecam tindakan penganjur George Town Festival (GTF) kerana tidak memasukkan budaya Melayu dalam klip video promosi acara sempena festival itu yang diadakan bulan ini.

Presiden Pemenang Mohd Yussof Latiff berkata pertubuhan berusia 97 tahun itu kecewa selepas menonton video promosi festival berkenaan yang menunjukkan persembahan kebudayaan Cina dan India, tetapi langsung tidak memasukkan elemen budaya Melayu.

Klip video itu sudah ditarik balik daripada portal rasmi GTF. Festival yang diadakan tahun ini adalah edisi ke-16.

Yussof berkata klip video promosi bertemakan “Here and Now” itu tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

“Ia menunjukkan penganjur sengaja menafikan kewujudan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata festival itu tidak dinafikan mempromosi George Town sebagai destinasi pelancongan dalam dan luar negara, tetapi isu itu membawa implikasi mengecewakan masyarakat Melayu yang menjadi salah satu teras dalam pembinaan masyarakat di George Town

Yussof berkata masyarakat Melayu Pulau Pinang khususnya pemain seni budaya Melayu melihat pihak penganjur tidak serius dengan peranan seni, budaya dan warisan Melayu tempatan.

Susulan itu, Yussof berkata seorang ahli persatuan menghubungi pegawai kanan penganjur bagi mendapat penjelasan mengenai isu itu.

Tetapi katanya, jawapan yang diterima adalah seni kebudayaan Melayu tidak mempunyai bahan untuk dipromosikan.

“GTF tidak sensitif terhadap semua kaum di negeri ini dan ia sebenarnya mensabotaj usaha kerajaan perpaduan utnuk mempromosikan konsep masyarakat madani.”

Video promosi itu dibuat dalam bahasa Inggeris dan Mandarin saja, maka ini jelas menunjukkan ia tidak mengambil kira Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini, kata Yussof.

Beliau berkata klip video promosi itu sudah tersebar luas sebelum ia dipadam selepas aduan dibuat oleh persatuan.

Sehubungan itu, Yussof berkata kerajaan negeri Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated wajar bertindak dan bertanggungjawab.

Tidak seperti tahun sebelumnya, edisi ke-16 diadakan selama dua minggu dari 19 Julai hingga 28 Julai, tetapi penganjur menjanjikan banyak persembahan akan diadakan untuk menggambarkan pentingnya George Town sebagai tapak warisan Unesco.

Exco negeri Wong Hon Wai ketika dihubungi berkata, penganjur akan mengeluarkan kenyataan hari ini untuk menjelaskan isu itu. – 16 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen