Malaysia perlu tingkatkan eksport alat ganti kereta untuk jadi hab serantau


Syarikat automotif dan alat ganti di negara ini perlu bekerja keras untuk meningkatkan eksport kereta yang ketara untuk membolehkan alat ganti dijual pada harga lebih kompetitif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2024.

MALAYSIA perlu meningkatkan eksport alat ganti dan komponen kereta jika mahu menjadi hab automotif Asean, kata Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Azrul Reza Aziz berkata syarikat automotif dan alat ganti di negara ini perlu bekerja keras untuk meningkatkan eksport kereta yang ketara untuk mencapai skala ekonomi dan membolehkan alat ganti dijual pada harga lebih kompetitif.

Beliau berkata peningkatan jumlah jualan boleh menurunkan kos pengeluaran dan sekali gus harga komponen, menjadikan ia lebih kompetitif berbandi di negara jiran dan serantau di mana alat ganti lebih murah kerana jumlah jualan yang tinggi.

Pengeluar kereta, penyelidik industri automotif dan pakar ekonomi percaya usaha ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau untuk Asean dan mengambil kelebihan daripada pangkalan pengguna di rantau ini yang mencecah 700 juta.

“Kami menggesa pengeluar barangan asli untuk bukan saja mengeksport kereta tetapi alat ganti dan komponen, kerana ia akan dapat menambah daya saing keseluruhan industri automotif Malaysia,” katanya dipetik berkata kepada Bernama.

Beliau mengulas berkenaan laporan berkenaan kos rantaian bekalan Malaysia adalah 30% lebih tinggi berbanding China dan 10% dibandingkan dengan Thailand.

Azrul berkata adalah penting untuk tahu kos ini sangat berbeza bergantung kepada struktur kos setiap syarikat, model kereta dan ekosistem rantaian bekalan.

Katanya, syarikat ini mungkin ada tahap kematangan berbeza dalam rantaian bekalan mereka, yang boleh memberi kesan kepada keseluruhan kecekapan kos. – 15 Julai, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen