Remaja pengsan selepas termakan biskut beracun untuk halau kera


SEORANG remaja lelaki dikejarkan ke hospital selepas termakan biskut dipercayai bercampur racun yang ditemuinya di pagar kebun di Kampung Air Putih, Chukai pada Jumaat, lapor Bernama.

Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata insiden berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa berusia 13 tahun itu dalam perjalanan dari rumahnya ke sungai berhampiran untuk memancing.

Katanya, mangsa yang melalui kawasan kebun itu makan biskut dalam plastik dan disangkut pada sebatang kayu, sebelum pengsan dan tidak sedarkan diri.

“Remaja itu ditemui rakan bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Hanyan berkata remaja terbabit dalam keadaan stabil pada masa ini dan sedang menerima rawatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Baru-baru ini dilaporkan dua beradik iaitu Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan keropok yang disalut racun tikus di Kulim, Kedah.

Keropok yang digantung di pagar kebun itu bertujuan untuk menghalau kera liar. – 15 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen