Malaysia perlu perbaiki peringkat junior untuk berjaya, kata pegawai FAM


Ravin Palanisamy

Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donnell berkata penting untuk Malaysia fokus kepada pembangunan belia kerana golongan itu adalah bakal pemain berbakat. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Julai, 2024.

BAGI membolehkan Malaysia mencapai kejayaan dalam arena bola sepak di peringkat antarabangsa, negara ini perlu mula menggilap dan mengiktiraf bakat muda, kata Scott O’Donnell.

Pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata penting untuk negara ini fokus kepada pembangunan belia kerana golongan itu adalah bakal pemain berbakat yang akan mewakili Malaysia ke peringkat dunia.

“Jika kita hendak berjaya di peringkat pasukan negara, dan ini bukan bertujuan tidak menghormati pasukan negara pada masa ini atau ketua jurulatihnya, kita perlu perbetulkan keadaan di peringkat remaja.

“Kerana jika kita tidak berjaya di peringkat remaja, apa yang kita harapkan untuk berjaya di peringkat senior kerana junior adalah pemain pasukan negara pada masa depan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual.

O’Donnell, warga Australia yang bermain untuk pasukan Kuala Lumpur pada 1994-1995, menekankan kepentingan perlawanan bola sepak remaja yang kompetitif, di mana katanya ia akan dapat memupuk bakat pada usia muda.

Beliau turut menyentuh tentang bagaimana negara lain memberi penekanan kepada pasukan remaja mereka.

Sebagai contoh, O’Donnell berkata adalah kemenangan pasukan bola sepak bawah 17 tahun Australia baru-baru ini dalam perlawanan Persatuan Bola Sepak Asean (AFF).

“Mereka berada di Itali selama dua minggu, bermain dalam dua perlawanan persahabatan menentang Switzerland dan pemain remaja itu bermain sekurang-kurangnya 22 perlawanan untuk kelab sebelum ke Indonesia untuk kejohanan AFF.

“Sebagai perbandingan, kita bermain enam perlawanan dan dua perlawanan persahabatan menentang Terengganu dan Pahang.

“Bukan salah pemain atau jurulatif. Kekuatan, membuat keputusan dan keseriusan perlawanan persahabatan tidak setara dengan perlawanan kompetitif.

“Pada peringkat kompetitif, pemain respons dengan cara berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan persahabatan,” katanya.

O’Donnell berkata budaya tidak membangunkan pasukan remaja turut berlaku di negara Asia yang lain.

“Bukan di Malaysia saja, dia semua negara di Asia yang saya pernah bekerja, terutama di Asia Tenggara, mereka tidka nampak faedah membangunkan pasukan remaja.

“Keutamaan biasanya untuk liga atau pasukan profesional.

“Jadi ini bukan kritikan terhadap Malaysia tetapi ini adalah tentang apa yang berlaku di rantau ini,” katanya. 

Masalah dana

Bagaimanapun, O’Donnell percaya kekurangan program pembangunan remaja mungkin disebabkan masalah dana.

“Saya rasa salah satu halangan adalah pendanaan. Ia adalah cabaran di setiap negara yang saya pernah bekerja.

“Peruntukan terhad. Jadi adalah lebih baik jika kita boleh mendapat tajaan yang khusus untuk menyokong liga remaja.

“Tentu bagus kalau kita boleh dapat penaja untuk Piala Belia, Piala Presiden, liga Bawah-15 dan Bawah-16 yang sedang diusahakan, Liga Puteri dan lain-lain lagi.

“Kelab ini bajet terhad, peruntukan mengikut kemampuan mereka. Ia sangat mencabar,” katanya.

Berdasarkan data diperolehi daripada Kementerian Belia dan Sukan, Korea Selatan (populasi 51.7 juta), yang berada di tempat ke-23 dunia oleh FIFA, membelanjakan RM512.3 juta untuk membangunkan persatuan bola sepak, skuad negara dan bakat baharu.

Jordan (populasi 11.3 juta, rangking 87 FIFA) membelanjakan RM122.2 juta sementara Bahrain (populasi 1.4 juta, ranking 86 FIFA) turut membelanjakan angka sama.

Berbanding Malaysia (populasi 33.4 juta, ranking 130 FIFA) hanya membelanjakan RM47 juta bagi tujuan sama.

Walaupun ada banyak kekurangan, O’Donnell berkata kerajaan memberikan kesungguhan untuk membangunkan pasukan bola sepak di peringkat remaja.

“Apa yang kementerian lakukan dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sungguh membanggakan.

“Mereka banyak menokong pasukan Bawah-19 dalam persediaan untuk Sukan Sea 2027.

“NFDP dan AMD adalah sebahagian daripada ekosistem bola sepak negara kerana jika semuanya berjalan lancar di AMD, bermakna bakal pemain pasukan negara akan jadi lebih baik,” katanya.

Susulan keputusan seri perlawanan Malaysia dengan Korea Selatan di perlawanan akhir Kumpulan E Piala Asia di Qatar baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada FAM.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kemudian berkata geran itu akan digunakan untuk pembangunan bola sepak, bukan kos operasi FAM. – 15 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen