Putrajaya sedia pinda akta anti lompat parti, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan dalam undang-undang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2024.

PUTRAJAYA terbuka dan sedia berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta berkenaan pada 2022, tetapi ditolak oleh kerajaan ketika itu.

“Dulu kita cadang mana-mana yang dibuang parti, ditolak (mengosongkan kerusi) tapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu.

“Sebab masa itu orang Umno masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali). Dulu dia (pembangkang) menentang, ramai tak tahu,” katanya ketika ditemui wartawan selepas solat Jumaat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas enam ahli Parlimen yang baru-baru ini dipecat sebagai ahli Bersatu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mereka tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Ahli Parlimen terbabit adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mereka dipecat selepas gagal menjawab notis mengesahkan kesetiaan kepada parti – mereka memberikan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Johari berkata peraturan baharu Bersatu yang mengisytiharkan enam ahli Parlimen itu keluar parti, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan Parlimen.

Bersatu meminda perlembagaannya supaya ahli parti akan secara automatic dipecat jika mereka melanggar keputusan part, dan wakil rakyatnya perlu mengosongkan kerusi.

Keputusan Johari dikecam pemimpin Bersatu yang mendakwa speaker salah tafsir Perlembagaan Persekutuan, khususnya peruntukan dalam undang-undang anti lompat parti yang bertujuan untuk menangani masalah wakil rakyat beralih parti. – 12 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen