TRIBUNAL Anti-Gangguan Seksual (TAGS) mengeluarkan anugerah untuk aduan pertamanya yang melibatkan gangguan seksual fizikal oleh majikan lelaki terhadap pekerja wanita, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
KPWKM berkata anugerah itu dikeluarkan dalam masa 60 hari dari tarikh perbicaraan pertama iaitu pada 23 Mei selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19(1) Akta Anti-Gangguan Seksual 2022 [Akta 840].
Menurut kementerian setelah mempertimbangkan bukti dan keterangan yang dikemukakan, TAGS mendapati pengadu membuktikan responden melakukan gangguan seksual terhadapnya.
“Oleh itu, TAGS memerintahkan responden untuk mengeluarkan kenyataan permohonan maaf seperti yang diminta oleh pengadu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
TAGS menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk menangani aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan murah.
Kementerian menggesa mangsa gangguan seksual untuk tampil membuat aduan di kaunter TAGS di KPWKM atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan. – 12 Julai, 2024.
Komen