SEMUA lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A ke atas tetapi belum mendapat tempat untuk program matrikulasi, akan menerima tawaran masing-masing menjelang bulan depan, lapor Malaysiakini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata demikian ketika bercakap mengenai isu itu pada sesi kamar khas Parlimen petang ini.
Beliau berkata kementeriannya menerima 4,877 permohonan daripada calon SPM yang mendapat keputusan cemerlang.
Daripada jumlah itu 3,684 ditawarkan tempat bagi pengambilan pertama pelajar matrikulasi tahun ini, di mana 2,496 adalah pelajar Bumiputera sementara 1,188 bukan Bumiputera.
Fadhlina berkata 400 lagi ditawarkan untuk pendaftaran program matrikulasi pengambilan kedua selepas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 30 Jun di mana beliau memberi jaminan semua pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A akan mendapat tawaran ke program itu.
Daripada jumlah 400 itu, 33 adalah Bumiputera manakala baki 367 bukan Bumiputera.
“Menjawab soalan apakah tindakan KPM untuk pastikan janji PM ini terlaksana?
“Baki pelajar 10A SPM akan ditawar secara berperingkat sehingga baki semua yang dapat 10A akan kita pastikan dapat tawaran tersebut.
“YB jadi saksi orang pertama dengar sendiri daripada menteri bahawa semua mereka akan ditawarkan tempat ke matrikulasi.
“Bila baki 10A yang memohon dan ditolak, ditawarkan peluang ke matrikulasi. Baki pelajar 10A yang belum ditawarkan, selewat-lewatnya minggu ketiga ogos 2024,” katanya dipetik daripada laporan itu. – 11 Julai, 2024.
Komen