KEHADIRAN militan kumpulan pengganas Indonesia, Jemaah Amsharut Daulah (JAD) dalam kalangan militan Maute yang sedang bertempur dengan pasukan tentera Filipina di bandar Marawi mencetuskan kebimbangan tentang kepercayaan militan yang mereka boleh mewujudkan kawasan Negara Islam Iraq dan Syria (IS) di rantau Asia Tenggara.
Penganalisis berkata yang maklumat mengenai JAD menghantar tidak kurang daripada 40 militan dari Indonesia ke Mindanao walaupun mereka sendiri bergelut di negara sendiri menjadi bukti yang kumpulan militan itu percaya mereka bakal memperolehi kejayaan menentang pasukan keselamatan Filipina yang akan menjayakan lagi misi mereka di rantau ini.
Kumpulan JAD dan Maute yang setia kepada IS mahu meluaskan kuasa mereka di rantau ini ketika IS mula kehilangan kuasa di Timur Tengah.
“Bagi militan Indonesia, dan dalam konteks Asia Tenggara, kawasan selatan Filipina ialah kawasan ideal untuk tujuan itu,” kata Taufik Andrie, pengarah eksekutif Institute for International Peace Building dipetik berkata dalam laporan akhbar Straits Times.
JAD yang dipimpin Aman Abdurrahman yang kini dipenjarakan mengeluarkan arahan kepada pengikutnya supaya melakukan pengeboman berani mati di Jakarta Januari tahun lepas. Kumpulan itu juga dikaitkan dengan beberapa serangan lain di Indonesia, termasuklah serangan bom berani mati berturut-turut di Jakarta Timur pada 23 Mei lepas yang mengorbankan tiga anggota polis.
Kumpulan serpihan daripada rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI) yang bertanggungjawab dalam serangan bom di Bali pada 2002, JAD dikenali kerana serangan membunuh yang dilakukannya terutama yang mensasarkan polis Indonesia.
Januari lepas, JAD diletakkan di bawah senarai anti keganasan Amerika Syarikat kerana hubungannya dengan IS.
Semalam, tentera Filipina melakukan sesi tafakur dan sembahyang selama sehari bagi menghormati 13 tentera laut yang terbunuh Jumaat lepas. Ia adalah korban terbesar dalam masa sehari pernah dialami dalam usaha merampas kembali Marawi daripada militan Maute.
Jumlah militan Maute di Marawi masih tidak jelas, yang dianggarkan berjumlah ratusan kepada ribuan militan sedang bertahan di bandar itu.
Tetapi kumpulan terbesar militan luar dipercayai berasal dari Indonesia dan Malaysia yang berkongsi sempadan laut dengan Filipina.
The Malay Mail yang memetik sumber perisikan Filipina melaporkan minggu lepas yang 28 rakyat Malaysia sudah menyertai kumpulan militan dalam konflik Marawi itu. – 12 Jun, 2017.
Komen