Polis pantau aktiviti ekstremisme, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akan terus mengambil langkah bersesuaian untuk mengekang penularan ekstremisme di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2024.

POLIS akan terus mengambil langkah bersesuaian untuk mengekang penularan ekstremisme di negara ini bagi mengelak insiden seperti serangan keganasan di balai polis Ulu Tiram, Johor berulang lagi.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau percaya ekstremisme perlu dikekang dan perbuatan memanggil orang lain sebagai kafir adalah sangat berbahaya kepada keseluruhan masyarakat di negara ini.

“Berdasarkan kepada insiden seperti ini, polis membangunkan satu profil lengkap tentang bagaimana mengurangkan elemen ekstremisme supaya ia tidak terus menular,” katanya ketika menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat hari ini.

Abd Ghani bertanya berkenaan usaha kerajaan dalam melawan ancaman baharu ekstremisme di negara ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata antara langkah keselamatan yang diambil susulan serangan di balai polis Ulu Tiram adalah mengeluarkan arahan baharu untuk menutup pagar balai polis itu selepas jam 10 malam.

“Balai polis adalah tempat orang datang untuk membuat laporan tetapi pada masa sama, balai polis juga sasaran, jadi kita perlu mengimbangkan langkah keselamatan,” katanya.

Dua anggota polis – Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh dalam serangan ganas seorang lelaki di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei. – 9 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen