PARTI komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Amanah berkata mereka menghormati pilihan dibuat pengundi di Sungai Bakap pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu baru-baru ini, dan berjanji untuk bekerja lebih keras bagi meraih kembali sokongan rakyat.
Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming berkata DAP akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menggalakkan pembaharuan dan melaksanakan lebih banyak dasar yang menguntungkan negara dan rakyat.
“Kita akan bersama-sama perdana menteri melalui susah dan senang dalam usaha kita untuk membina semula negara yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nga yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata DAP yang mempunyai 40 ahli Parlimen dan pemimpinnya akan memperkukuh dialog dengan masyarakat di peringkat akar umbi untuk lebih memahami pandangan umum dari pelbagai perspektif.
Beliau berkata DAP komited dan berdedikasi untuk mengejar pencapaian politik dan mendapat kepercayaan rakyat sambil membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu menerima keputusan PRK Sungai Bakap dan akan terus mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan.
Mohamad berkata perpaduan antara jentera PH dan Barisan Nasional juga perlu diperkukuhkan menjelang pilihan raya umum depan.
“Amanah menghormati keputusan PRK Sungai Bakap dengan penuh keyakinan usaha berterusan akan digerakkan oleh parti ini untuk menambah sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan.
“Amanah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pekerja parti di semua peringkat yang memberikan komitmen penuh sepanjang tempoh kempen,” katanya.
PRK Sungai Bakap pada 6 Julai menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memenangi kerusi itu dengan memperoleh 14,489 undi, menewaskan calon PH Dr Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga ketua PAS Bahagian Nibong Tebal pada 24 Mei. – 9 Julai, 2024.
Komen