KERAJAAN Kelantan akan menyegerakan penerokaan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bagi membolehkan pemprosesan bahan mentah ini dan menjana keuntungan kepada negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata beberapa syarikat dari China telah menunjukkan minat untuk memproses NR-REE.
“Kerajaan negeri mahu NR-REE diproses di Kelantan bagi memperoleh keuntungan lebih besar berbanding pemprosesan di China. Kami akan membincangkan perkara ini dengan syarikat China.
“Seperti yang kita sedia maklum, Kelantan telah mendapat kebenaran daripada kerajaan persekutuan untuk meneroka NR-REE, tetapi ia memerlukan garis panduan dan prosedur operasi standard,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Fadzli berkata Kelantan adalah negeri kedua paling banyak dari segi NR-REE, dianggarkan bernilai RM125 bilion daripada lebih RM700 bilion yang terdapat di negara ini.
“Walaupun kerajaan persekutuan masih belum membenarkan pengeksportan NR-REE kecuali projek perintis di Mukim Kenering, kami berharap isu ini dapat diselesaikan.
“Kami akan cuba mencari jalan terbaik ke hadapan kerana kami (Kelantan) tidak boleh mendahului kerajaan pusat,” katanya. – 9 Julai, 2024.
Komen