SEORANG wanita berusia 35 tahun ditahan untuk siasatan berkaitan bunuh diri pempengaruh Rajeswary Appahu akibat buli siber di TikTok.
Ketua Polis Sentul Sukarno Zahari berkata seorang lelaki berusia 39 tahun membuat laporan pada Sabtu berhubung intimidasi yang didakwa terhadap pempengaruh yang lebih dikenali sebagai “Esha”.
Sukarno berkata suspek ditahan pada pukul 1.45 pagi hari ini di Bukit Beruntung Golf Resort di Rawang.
“Suspek sedang ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Sentul sehingga 10 Julai untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai penjaga di rumah orang tua tidak mengenali mangsa secara peribadi dan hanya mengetahui tentangnya melalui TikTok.
Suspek didakwa memuat naik video yang mengandungi kata-kata kesat menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang.
Sukarno berkata polis sedang mengesan seorang lagi suspek.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan untuk intimidasi jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya; dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 untuk tingkah laku menghina, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.
Aktivis sosial menyeru tindakan diambil terhadap mereka yang membuli Esha di TikTok.
Mayat mangsa yang berusia 29 tahun ditemui di rumahnya sekitar jam 11 pagi Jumaat lalu.
Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil berkata isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan di Kabinet pada Jumaat untuk mencari penyelesaian.
Beliau menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pembentangan itu susulan kematian pempengaruh TikTok tersebut. – 8 Julai 2024.
Komen