.jpg)
KEKALAHAN calon kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Bakap adalah isyarat buat pemimpin kerajaan untuk tidak berasa terlalu selesa dengan kedudukan dan kuasa.
Suara rakyat Sungai Bakap yang diterjemah melalui keputusan undi pada 6 Julai lalu telah memberikan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan yang lebih mendengar dan prihatin akan kehendak rakyat.
Segelintir pemimpin yang berjalan mendongak kelangit itu perlu sedar dan muhasabah diri di mana bumi dipijak.
Negeri yang ditadbir oleh kerajaan perpaduan termasuk di peringkat nasional seharusnya memberikan kelebihan buat jentera perpaduan untuk berkempen dan meraih undi dengan mudah.
Namun kelebihan itu kelihatan gagal menarik minat rakyat sebaliknya majoriti yang dimenangi oleh calon Perikatan Nasional adalah lebih tinggi berbanding keputusan Pilihanraya Negeri yang lalu.
Keupayaan pembangkang untuk merampas kerusi Sungai Bakap pada pilihanraya negeri tahun 2023 seterusnya mengekalkan kerusi dengan peningkatan majoriti lebih dua kali ganda memberikan isyarat penolakan yang jelas dari rakyat.
Metode kempen secara agresif oleh segelintir pemimpin dan pempengaruh yang memperlekeh pihak lawan dipentas-pentas tertentu juga serba sedikit menyumbang kepada kekalahan.
Sikap acuh tak acuh segelintir pemimpin untuk bersungguh-sungguh menyantuni rakyat juga akhirnya menjadi punca rakyat jemu dengan sikap pemimpin kerajaan.
Di manakah silapnya? Apakah puncanya dan bagaimana mengatasinya?
Kesilapan jentera perpaduan
Demografi Kerusi Dun Sungai Bakap adalah gambaran kerusi majoriti melayu yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan India lebih rendah berbanding pengundi melayu.
Kedudukan demografi seperti ini mewakili sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ada di semenanjung.
Kerajaan Perpaduan seharusnya mempunyai kelebihan untuk menarik undi melayu dan bangsa lain kerana terdapat parti komponen Melayu seperti Umno dan parti perlbagai bangsa seperti Keadilan dan DAP.
Namun kelemahan jentera perpaduan dalam menyampaikan mesej dan penerangan secara sistematik akan isu-isu semasa menyebabkan rakyat akhirnya bosan dan seterusnya menghukum calon perpaduan.
Initiatif-initiatif yang baik dilaksanakan oleh Kerajaan telah dimanipulasi pihak lawan dan kegagalan jentera penerangan untuk memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang menekan rakyat akhirnya menyebabkan rakyat menolak calon perpaduan.
Kerajaan seharusnya memanfaatkan saluran media utama termasuk portal-portal media elektronik untuk memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap initiatif-initiatif yang telah dilaksanakan.
Penjelasan terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar misalnya di saluran media utama negara kelihatan begitu hambar sekali. Penerangan berbentuk siaran iklan pendek secara lebih kerap dan forum-forum semasa yang disiarkan secara langsung dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.
Namun kelebihan kerajaan untuk memanfaatkan saluran media utama dan portal-portal elektronik walaupun sudah hampir dua tahun memerintah dilihat begitu perlahan.
Kerajaan dilihat lebih gemar menggunakan medium sidang media untuk menjawab pelbagai persoalan dan pertanyaan berbanding kaedah penerangan yang lebih ringkas dan berkesan seperti info grafik, podcast dan sebagainya.
Agensi bersesuaian
Penyusunan jentera penerangan dan media sosial secara sistematik dengan melatih pempengaruh-pempengaruh untuk berhujah secara fakta juga dilihat gagal dilaksanakan.
Terdapat kumpulan-kumpulan kecil aktivis media sosial dilapangan yang berusaha untuk membantu kerajaan memberikan penerangan namun kerajaan tidak memanfaatkan mereka untuk disatukan dalam skala yang lebih besar dan dilatih dengan ilmu dan pengetahuan yang tepat dalam menyampaikan maklumat.
Pihak lawan pula berjaya memanfaatkan kelemahan kerajaan dalam penerangan dengan memperkukuhkan kedudukan pasukan pempengaruh mereka untuk bergerak secara lebih tersusun dan sistematik.
Tidak hairanlah para pempengaruh pembangkang dilihat menguasai media sosial berbanding para pempengaruh pro kerajaan. Kesannya dilihat rakyat akhirnya terpengaruh dengan dakyah fitnah berbanding dengan fakta yang sebenarnya.
Kerajaan perlu mengambil iktibar dari nasihat Sahabat Nabi Saidina Ali menyebut, kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.
Seharusnya satu agensi diwujudkan oleh kerajaan untuk berperanan khusus dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat disamping melatih bakat-bakat baru dalam usaha penyebaran maklumat.
Agensi-agensi sedia ada seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Strategi Komunikasi (STRATCOM) perlulah diperluaskan peranannya supaya keupayaan agensi-agensi ini dapat dimanfaatkan oleh kerajaan secara berkesan.
Kekuatan semua sayap penerangan dan komunikasi termasuk dari parti-parti politik komponen kerajaan perlulah disatukan dibawah satu bumbung supaya semua usaha penerangan dapat digerakkan secara sistematik dan lebih teratur.
Program-program berbentuk pengkaderan terhadap bakat-bakat baru khusus dalam bidang penerangan dan komunikasi perlulah dipertingkatkan.
Pemimpin perlu lebih kerap turun padang
Selain masalah komunikasi dan penerangan, pemimpin prokerajaan juga dilihat terlalu selesa dengan kedudukan dan jawatan masing-masing.
Sehinggakan terdapat segelintir mereka hanya akan menjengah bertemu rakyat pada musim pilihanraya untuk meraih undi. Aktiviti-aktiviti bersama rakyat seperti sukan dan program-program santai jarang sekali dianjurkan diluar musim pilihan raya padahal program seperti inilah yang akan merapatkan jurang antara rakyat dan kerajaan.
Program-program santuni anak muda juga sangatlah jarang dianjurkan padahal undi anak muda ini memberikan impak besar terhadap keputusan pilihanraya.
Terdapat segelintir pimpinan pemuda dalam sayap parti kerajaan lebih gemar berkokok dan bertempik sorak mengkritik kerajaan berbanding memikirkan kaedah terbaik untuk mendekati anak muda.
Sikap-sikap seperti inilah yang membangkitkan amarah rakyat terhadap kerajaan seterusnya memuncakan penolakan rakyat terhadap kerajaan melalui kertas undi.
Perbaiki kelemahan
Kerajaan Perpaduan bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih mempunyai baki tempoh sekitar tiga tahun lagi untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada.
Contohilah gerak kerja perdana menteri yang sentiasa cuba menyantuni setiap rakyat yang ditemui dengan melibatkan diri dalam program-program yang dekat dihati rakyat.
Para pimpinan diingatkan untuk tidak berasa begitu selesa dengan kedudukan dan jawatan sebaliknya mula turun padang secara lebih kerap untuk mendekati rakyat dan bukan sekadar tunjuk muka pada musim pilihan raya.
Sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak mahu berubah dan masih mengekalkan sikap yang sama, maka tidak hairanlah jika pilihanraya umum akan datang akhirnya rakyat akan menolak gabungan Kerajaan Perpaduan dan memilih Perikatan Nasional.
Jangan lena diulit kuasa kerana sesungguhnya kuasa itu memabukkan dan kuasa itu sementara. – 8 Julai, 2024.
* Syed Badli Shah Syed Osman aktivis PKR dan mantan naib ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen