SETIAP tahun Ketua Audit Negara (AG) membentangkan laporan kepada umum berkenaan bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan oleh entiti kerajaan demi ketelusan dan akauntabiliti.
Laporan AG sering mendedahkan ketirisan, ketidakcekapan, pembaziran dana awam dan salah laku dalam agensi kerajaan yang mana di mata rakyat Malaysia prihatin ia perlu dibetulkan dan pelakunya harus dipertanggungjawabkan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya Laporan Ketua Audit Negara 2024 menunjukkan masalah yang sama dalam institusi kerajaan.
Namun begitu satu kes dalam laporan ini menarik perhatian ramai apabila sebuah kelab eksklusif profesor iaitu Majlis Profesor Negara (NCP) terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai salah guna kewangan.
Pendedahan ini mengejutkan kerana profesor yang sepatutnya menjunjung tinggi etika, kepercayaan dan integriti dilihat melangkaui batasan tersebut.
Menurut laporan AG, NCP menyalahgunakan RM373,516 untuk membiayai operasi dua syarikat dan menyalurkan sejumlah RM207,000 dalam bentuk elaun tetap kepada pengerusi dan timbalan pengerusinya.
Laporan itu juga mendedahkan empat pembayaran berjumlah RM610,000 dibuat tanpa kelulusan lembaga pemegang amanah manakala dalam tiga kes geran berjumlah lebih RM2.44 juta digunakan secara tidak efisien.
Ini bukan satu-satunya isu yang dibangkitkan. Pengerusi dan timbalan pengerusi dilaporkan menerima elaun bulanan tetap masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM4,000 dari Mac 2022 hingga Januari 2024 tanpa kelulusan menteri yang berkenaan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Dua syarikat swasta yang tidak berkaitan dengan NCP ditubuhkan pada 2019 dan beroperasi sejak itu di ibu pejabat NCP tanpa membayar sewa. Tidakkah sewa ini dapat menjana pendapatan yang amat diperlukan oleh majlis yang tidak mendapat dana kerajaan? – 7 Julai, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen