Isu subsidi lebih besar dari BlackRock, kata peserta demo


Salhan K. Ahmad

Antara peserta yang menyertai perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar yang dipromosi sebagai gelombang rakyat menentang tindakan buruk kerajaan pada waktu ini. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Julai, 2024.

PELUANG pekerjaan di Kelantan sangat terhad pada masa ini, membuatkan Mohd Shahrul, 32, membulatkan tekad untuk kembali ke Kuala Lumpur untuk menyara hidup.

Graduan Institut Kemahiran Bina Negara itu sudah jemu membantu ibu bapanya menjual buah kayu dan berhasrat untuk kembali ke pekerjaan lamanya mencuci pesawat di hangar lapangan terbang.

Pekerjaan itu terbantut akibat pandemik Covid-19 dan anak muda ini percaya industri tersebut sudah kembali pulih, walau tidak sepenuhnya.

Ekonomi masih belum segar seluruhnya dan pelarasan semula subsidi mungkin akan memburukkan lagi keadaan, katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkongsi pandangan itu sambil berdiri tercegat memerhatikan gelagat beberapa ratus orang yang berhimpun di perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya baru sampai dengan penerbangan semalam, itu yang dapat datang ke sini. Tapi sebetulnya saya hendak pergi ke rumah saudara di Sepang sambil mencari kerja,” katanya.

Mohd Shahrul mahu menyaksikan sendiri perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar yang dipromosi sebagai gelombang rakyat menentang tindakan buruk kerajaan pada waktu ini.

Beliau berasa teruja untuk menyaksikan perhimpunan itu selepas melihat ia dipromosi meluas di media sosial, antara lainnya oleh pempengaruh seperti YB Viral dan Papa Berry.

“Isu BlackRock pun ada disebut juga,” katanya yang mengikuti polemik mengenai pelaburan firma dikaitkan dengan Israel itu dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Katanya, isu tersebut sememangnya menjadi kebimbangan kerana sepanjang pengetahuannya BlackRock terlibat menghasilkan senjata untuk membedil warga Palestin.

Ditanya jika beliau berpuas hati dengan penjelasan kerajaan mengenai pelaburan BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) dalam MAHB, Mohd Shahrul menggeleng kepala.

“(Anwar) tidak jawab, hanya spin saja. Dia cuma cakap (pelaburan BlackRock) berlaku juga sewaktu Muhyiddin Yassin dan Ismail Yaakob jadi perdana menteri,” katanya.

Mengulas mengenai pelaburan BlackRock dalam industri perlombongan melibatkan syarikat kerajaan negeri Kelantan, Mohd Shahrul juga berpendapat itu hanya isu kecil.

“(Pelaburan) itu sedikit sahaja berbanding dalam MAHB. BlackRock dapat kuasai 30%,” katanya lagi yang menambah harga bahan api dan barang keperluan menjadi isu lebih besar pada masa ini.

Beliau percaya kenaikan itu akan bertambah apabila kerajaan melaraskan subsidi untuk bahan api petrol RON95 kelak.

Tidak jauh dari Mohd Shahrul pula seorang lagi peserta, Alia berdiri di balik sebatang pokok untuk berlindung dari rembang matahari petang.

Ibu tunggal itu sanggup turun dari Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur kerana perhimpunan berkenaan turut menuntut hak mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini kali pertama saya sertai perhimpunan sebegini. Saya dapat tahu mengenai perhimpunan ini melalui aplikasi Telegram, dalam saluran kandungan politik Suara Rakyat,” katanya.

Alia berkata beliau hanya dapat berharap untuk mengeluarkan tabungan tersebut setelah tidak lagi mampu bekerja kerana perlu menanggung tiga orang anak dan seorang abang yang kelainan upaya.

Mengulas mengenai penjelasan melibatkan isu BlackRock pada waktu ini, Alia juga berpendapat isu tersebut hanya diputar belit kerajaan.

“Saya tak puas hati kerana dia hanya spin. Dia hanya mahu salahkan kerajaan terdahulu,” katanya.

Turut hadir di perhimpunan tersebut seorang aktivis parti Bersatu dari Melaka yang melihat perhimpunan tersebut penting bagi mengangkat isu kenaikan harga diesel dan barang keperluan.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Edy berkata pelarasan subsidi itu perlu ditentang kerana menekan banyak pihak.

“Saya sendiri pandu pacuan empat roda enjin diesel. Dulu RM100 dapat isi penuh tangki. Jadi kos sebulan dalam RM800. Sekarang kena belanja RM1,600 sebulan.

“Dapat bantuan RM200 sebulan mana cukup,” katanya lagi yang mengaku terpaksa membuat catuan bagi membeli barangan yang betul-betul menjadi keperluan sahaja.

Beliau juga mendakwa pelarasan subsidi itu menyebabkan kenaikan harga makanan utama seperti beras yang meningkat sehingga 30%.

Mengulas mengenai isu BlackRock yang menjadi perhatian waktu itu, beliau berpendapat kerajaan tidak menjelaskan isu tersebut sewajarnya.

“Dia hanya perbodohkan rakyat, senang cerita,” katanya.

Menurut kefahamannya, kerajaan tidak patut membiarkan firma tersebut menguasai saham MAHB memandangkan syarikat pengurusan lapangan terbang itu mencatat keuntungan besar.

“Kalau untungnya sedikit sahaja atau tidak untung, barulah munasabah untuk kita jual saham atau panggil pelabur,” katanya lagi.

Di kalangan peserta dari golongan muda pula, isu BlackRock juga tidak berapa menangkap perhatian.

Seorang pemuda, Shahrul, 18, yang hadir dengan ibunya berkata isu BlackRock tidak muncul di TikTok namun beliau kini faham dan mengalami sendiri masalah kenaikan harga barang.

“Saya nampak harga alat ganti motosikal makin mahal sekarang. Saya tahu sebab saya naik motosikal pergi kerja,” katanya yang kini bekerja sambilan di sebuah kedai kasut di Kajang.

Itulah pengalaman pertama Shahrul bekerja dalam realiti semasa dan beliau berpendapat gaji minimum yang diterima sangat tidak memadai untuk menampung kos hidup.

“Elaun dari Mama lagi banyak berbanding gaji di kedai kasut,” katanya yang berpendapat para pekerja sepatutnya menerima gaji minimum RM2,000.

Perhimpunan berkenaan juga menuntut kerajaan membela nasib kakitangan kesihatan awam, naik taraf prasarana dan kualiti perkhidmatan dan membatalkan pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan.

Gabungan NGO Demi Negara yang menganjurkan perhimpunan tersebut mendakwa pelaksanaan kertas putih itu bakal menswastakan perkhidmatan kesihatan awam.

Ia turut menggesa kerajaan menyalurkan dana setara kepada wakil rakyat pembangkang dan menghentikan tekanan ke atas pandangan yang kritikal terhadap kerajaan.

Gabungan itu turut menggesa kerajaan menghentikan dasar yang didakwa sebagai polisi IMF yang menekan rakyat dan menjarah aset negara. – 4 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen