PIHAK yang terlibat dalam pertikaian harta sepencarian bernilai RM2.1 bilion melibatkan Allahyarham Dr Jamaludin Jarjis mencapai penyelesaian secara baik hari ini.
Peguam Syariah Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah memberitahu pemberita selepas prosiding tertutup di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bahawa tuntutan itu diselesaikan secara baik melalui persetujuan bersama.
Nur Hidayah berkata kedua-dua pihak bermesyuarat hari ini selama kira-kira tiga jam dan mencapai kata sepakat yang kemudiannya direkodkan oleh mahkamah.
“Syarat penyelesaian adalah lengkap termasuk semua harta sepencarian dan harta pusaka si mati,” katanya.
Beliau berkata ia adalah kali pertama keluarga dan mereka yang terlibat duduk di hadapan peguam dan datang ke satu penyelesaian.
Beliau berkata perbicaraan bermula semalam di mana plaintif (isteri Jamaluddin, Kalsom Ismail) memberikan keterangan.
“Bagaimanapun kesemua mereka kemudian bersetuju untuk bertemu hari ini. Dengan ini, kes itu berakhir dengan baik.
“Alhamdulillah… hari ini sudah selesai. Bagaimanapun terma, jumlah atau apa sahaja yang berkaitan dengan harta itu tidak boleh didedahkan,” katanya.
Kalsom, 68, diwakili peguam Syariah Zainul Rijal Abu Bakar.
Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah dan beberapa syarikat pada Oktober 2018 terhadap anak-anaknya Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mertua Aminah berusia 90 tahun sebagai defendan. .
Di bawah undang-undang Syariah, ibu mendapat satu perenam daripada harta pusaka, isteri mendapat satu perlapan dan selebihnya dikongsi bersama anak-anak.
Jamaluddin, bekas ahli Parlimen Rompin dan bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat adalah antara enam yang maut dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.
Beliau berkhidmat sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi dari 2004 hingga 2008 dan juga duta Malaysia ke AS dari 2009 hingga 2012. – 3 Julai, 2024.
Komen