Indikator kos sara hidup diubah ikut perkembangan semasa, kata PM 


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengiraan bagi petunjuk ini diselaraskan berdasarkan pelbagai aspek perbelanjaan isi rumah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2024.

KERAJAAN telah melaraskan indikator bagi kos sara hidup agar sejajar dengan perkembangan semasa negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.

Menurutnya, pengiraan bagi indikator ini diselaraskan berdasarkan pelbagai aspek perbelanjaan isi rumah yang lazimnya tidak diambil kira oleh banyak negara lain.

“Keperluan Kuala Lumpur tidak sama dengan keperluan Hulu Terengganu. Oleh itu, indeks itu perlu diselaraskan, dan ini dilakukan berdasarkan mesyuarat yang menentukan tahap kos sara hidup berdasarkan perkembangan semasa.

“Kami juga telah mengambil kira diet Malaysia, pakaian dan kasut, perumahan, elektrik, gas, rekreasi, dan sebagainya yang secara amnya tidak diambil kira untuk kos sara hidup di negara lain,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pembangunan petunjuk ini dan apakah inisiatif yang kerajaan ada atau sedang dilancarkan berdasarkannya.

Beliau berkata, inisiatif yang dilancarkan berdasarkan petunjuk kos sara hidup termasuk peningkatan subsidi untuk rakyat yang memerlukan.

Belum ada keputusan mengenai subsidi RON95

Anwar juga berkata kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

“Adakah kemungkinan pada masa hadapan? Saya tidak akan menolak sebarang kemungkinan. Fokus kami sekarang ialah rasionalisasi subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata tiada kertas dasar dibentangkan setakat ini bagi mempercepatkan proses rasionalisasi, sambil menambah bahawa kerajaan telah menjalankan rasionalisasi subsidi untuk ayam, elektrik dan diesel.

“Tiga perkara ini berlaku pada tahun lepas dan tahun ini. Kita lihat kesan dan reaksi rakyat. Selepas itu barulah kita akan membincangkan keperluan itu.

“Apa yang lebih penting ialah kita mesti menghentikan subsidi untuk orang kaya dan warga asing. Kita kena fikir mekanismenya, supaya rakyat tidak terbeban,” katanya lagi. – 2 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen