MOM tukar corak, logo pakaian kontinjen negara


Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 telah ditambah baik dengan rekaan jalur harimau yang lebih menyerlah.– Gambar Facebook Majlis Olimpik Malaysia, 2 Julai, 2024.

PAKAIAN rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 telah ditambah baik dengan rekaan jalur harimau yang lebih menyerlah selepas aduan reka bentuk sebelum ini yang dikatakan kusam dan polos.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata pakaian baharu itu telah menjawab maklum balas mengenai reka bentuk motif harimau sebelum ini yang dilihat tidak begitu menyerlah.

Reka bentuk baharu ini menampilkan latar belakang hitam dengan jalur harimau kuning yang lebih jelas dan lebih besar di bahagian hadapan dan belakang jaket.

Pakaian itu turut menampilkan logo MOM dalam warna bendera Malaysia sebagai tanda penghormatan kepada Jalur Gemilang.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti,” katanya.

Norza menjelaskan kerana kekangan masa, MOM mendapat kebenaran daripada penaja Yonex Sunrise Malaysia untuk tidak mempamerkan logo Yonex atau YY pada kedua-dua jaket dan baju-T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan perjanjian di antara Yonex dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.”

Beliau menambah MOM diberi kebenaran khas untuk mencetak dan menghasilkan jaket ini menggunakan fabrik pengeluar berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 atas faktor masa.

“Sehubungan itu, MOM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia, atas kesediaan mereka membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza,” tambahnya. – 2 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen